Kuala Lumpur: Hanya 17 peratus bayaran saman diperoleh daripada pesalah trafik yang dirakam Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) disalurkan kepada syarikat pembekal sistem berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata baki selebihnya dikira sebagai hasil kerajaan.
Beliau berkata, syarikat dilantik menanggung RM717 juta kos operasi dan modal bagi membekal teknologi, perisian dan khidmat mengambil gambar.


Kerajaan hadkan hasil atau yuran pembekal perkhidmatan kepada purata 17 peratus dan selebihnya adalah hasil kerajaan.

Sekiranya semua pengguna memandu dengan berhemah, mengikut peraturan dan mengubah tabiat pemanduan, maka tidak ada jaminan keuntungan diperoleh syarikat berkenaan.

Kuncinya... ikut saja peraturan dan undang-undang, maka tiada saman dikenakan, katanya kepada BH.

Beliau mengulas dakwaan segelintir pihak yang mendakwa sistem penguatkuasaan baru itu bertujuan meningkat bayaran saman bagi memberi keuntungan berlebihan kepada syarikat yang dilantik kerajaan, sekali gus menganiaya pengguna.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata keputusan kerajaan melantik syarikat pembekal perkhidmatan kerana ia tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan modal dan operasi yang tinggi, selain menanggung kos penyelenggaraan.

Kerajaan juga tidak perlu melantik kakitangan dan menyedia peralatan sokongan perkhidmatan, sekali gus membantu mengurangkan saiz perkhidmatan awam. Isu dan masalah vandalisme yang sentiasa berlaku juga menjadi tanggungjawab pembekal.

Selain itu, kerajaan tidak perlu menanggung sebarang kos dan tanggungan sekiranya sistem ini berjaya mengubah tingkah laku pemandu sehingga jumlah saman menurun dengan drastik, katanya.

Beliau menjelaskan, sistem pengukur kelajuan terkini dan tercanggih yang dilaksana di 90 negara maju itu diyakini berupaya menangani kadar kemalangan di negara ini.

Penguatkuasaan secara manual atau khidmat manusia secara langsung tidak ada keupayaan untuk melakukannya tanpa peralatan canggih ini, katanya.

Abdul Rahim turut membidas dakwaan bahawa kerajaan menswastakan sepenuhnya penguatkuasaan AES kepada syarikat pembekal.

Katanya, kerajaan hanya melantik syarikat untuk membekal sistem infrastruktur teknologi kamera dan perisian bagi mengambil gambar serta mengenal pasti pesalah melalui kaedah kamera teknologi tinggi.