KUALA LUMPUR: Kebakaran dilaporkan berlaku di atas kapal tangki bahan kimia dan minyak sawit milik MISC Berhad `Bunga Alpinia' di Labuan, Sabah awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, MISC berkata kapal 38,000 DWT IMO II itu mempunyai 29 anak kapal yang terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam Filipina.
"Pada masa ini, 24 (anak kapal) selamat dibawa ke pantai," katanya.

Kapal terbabit berada bersebelahan terminal Petronas Methanol Sdn Bhd apabila kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi.

"Tiada butiran lanjut mengenai kejadian diperoleh setakat ini," kata kenyataan itu.

MISC berkata, semua pihak berkuasa sudah diberitahu mengenai kejadian itu dan pihaknya sedang bekerjasama untuk memberi bantuan yang sewajarnya. - BERNAMA