login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Rabu , 30 Julai 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BiPop
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Cinta pandang pertama
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2011/10/16

pix_gal0
HAMPIR setahun menantikan detik menyatukan Elfira Loy, 17, dan Randy Pangalila, 20, dalam satu sesi fotografi. Bulan demi bulan dan hari berganti minggu, kesempatan itu akhirnya menjadi kenyataan pada 5 Oktober lalu ketika penggambaran telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dijalankan.

Sebelum ini sudah dipukul canang oleh syarikat Cube Film milik pengarah Michael Ang bahawa kedua-dua bakat muda bersinar itu akan disatukan dalam sebuah drama. Drama yang asalnya diberi judul Selagi Adanya Cinta dan kemudian berubah menjadi Dalam Hati Ada Taman dirancang penggambarannya Januari lalu.
Namun dek kesibukan jadual seni Randy di Indonesia dan komitmen pelajaran Elfira dengan pelajaran termasuk bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan, penggambaran drama itu dijangka diadakan pertengahan Disember ini. Randy kini adalah bintang remaja yang semakin meriah populariti di negaranya.
Lokasi penggambaran bukan lagi di Florence, Itali, sebaliknya Paris dan London menjadi pilihan terbaru menyaksikan ‘jodoh’ mereka disatukan buat kali kedua selepas telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.

Dengan izin Ang membenarkan masa dicuri dan kerjasama ibu Elfira, Filzah Yusoff mendapatkan tajaan busana label mewah Versace, B*POP satukan kedua-dua ‘pasangan kekasih’ itu di Jari Spa, Wangsa Walk, Wangsa Maju, ketika berlangsungnya sesi penggambaran telefilem itu.

Biarpun baru bertemu Isnin lalu (3 Oktober), Elfira dan Randy pantas mencipta keserasian. Kedua-duanya juga ibarat sudah mula jatuh cinta pandang pertama terhadap bakat masing-masing. Ada ‘kimia’ yang terpancar di antara mereka sekali gus memberikan mood fotografi yang diingini.

Akui Elfira, dia sendiri tidak menafikan keserasian antaranya dan Randy ketika berlakon terjadi secara semula jadi dan tidak mengambil masa panjang untuk ‘memanaskan’ situasi. Sikap Randy yang cukup merendah diri juga antara sebab Elfira begitu menyenangi peribadi dan kehadirannya.
“Ingatkan dia sombong pada mulanya tapi ternyata dia sebenarnya seorang peramah. Seperti kami sudah lama kenal. Saya tak nafikan betapa selesa berlakon dengannya sekalipun kami dibatasi dengan jurang bahasa dan kali pertama berlakon sama. Adik saya sendiri bertanyakan tak berdebar ke berlakon dengannya. Lebih daripada itu adik saya mengusik tak jatuh hati ke pada dia. Apatah lagi saya memang menjadi pengikut setia drama lakonannya yang disiarkan tahun lalu iaitu Cinta Kirana dan terbaru, Nada Cinta yang disiarkan di Astro.

“Pada mulanya memang saya akui terbit rasa berdebar juga melihatnya di set penggambaran. Tapi sikap profesional dan dirinya yang tak berlagak memudahkan kerjasama terjalin. Insya-Allah, tiada aral kami akan berlakon sama lagi untuk drama Dalam Hati Ada Taman hujung tahun ini,” kata Wajah Eksklusif Astro itu yang baru muncul dengan filem Jepun berjudul Second Chance.

Elfira menambah lagi, hingga saat ini dia tidak menyangka usaha Ang dan Astro untuk mendapatkan Randy benar-benar menjadi kenyataan. Masih jelas lagi dalam ingatan Elfira apabila Ang berseloroh dengannya sambil bertanya suka atau tidak kalau dapat berlakon dengan Galang (nama watak Randy dalam Cinta Kirana).

“Ketika itu saya menjalani penggambaran telefilem Kum-Kum pada bulan puasa tahun lalu. Waktu berehat, saya curi kesempatan menonton drama Cinta Kirana,” katanya yang memegang watak sebagai Alya dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.

Sekalipun sibuk berlakon, gadis genit ini tidak melupakan tanggung jawab sebagai pelajar. Baru saja selesai menghadapi peperiksaan percubaan SPM, pelakon yang mula dikenali dengan drama Qaleesya itu gigih membuat persiapan untuk menempuh peperiksaan SPM pada awal bulan depan.

“Pendidikan tetap saya utamakan. Cuma kadang-kadang biasalah anak remaja macam saya timbul perasaan malas nak mengulang kaji pelajaran. Tapi saya lawan apa saja rasa negatif itu. Setiap malam akan ke kelas tuisyen di Setiawangsa termasuk terbabit dengan perbincangan berkumpulan bersama kawan,” katanya yang mengakui wujud banyak akuan palsu Facebook tetapi yang betul boleh dicari di bawah emel filzay@yahoo.com

Dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, Randy memegang watak sebagai Andy, jejaka dari Indonesia yang datang ke Malaysia untuk mencari cintanya, Alya (Elfira). Mereka berkenalan menerusi laman Facebook. Turut berlakon ialah Ezzrin Loy, Hanez Suraya, Mahmud Ali Bashah, Sharifah Shakinah, Didie Alias dan Sharifah Shahora.


Randy nafi gosip cinta dengan Donita

BAGI Randy atau nama sebenarnya Randy Dionysius Pangalila, kunjungan ke Malaysia kali ini adalah ketiga buatnya. Kali pertama dua tahun lalu semasa terbabit dengan sesi penggambaran fesyen dan terbaru ketika berlangsungnya pertunjukan fesyen MASIF 2011.

Randy sebenarnya sudah enam tahun bergelar anak seni. Selain berlakon, bekas atlit taekwondo mewakili Indonesia itu sebenarnya juga berbakat sebagai penyanyi dan diberi peluang bergelar model. Ikutkan sudah lama tawaran berlakon di Malaysia yang diterimanya sebelum Michael cuma faktor masa agak terbatas.

“Dengan Michael pun saya sudah kenal dan tak salah mencuba nasib melebarkan sayap di Malaysia. Bagi saya berlakon di Malaysia disifatkan satu manifestasi mengutip pengalaman baru di samping meluaskan atmosfera seni. Pemilihan Elfira sebagai gandingan heroin juga satu peluang terbaik saya berkongsi ilmu apatah lagi dia memang seorang berbakat besar,” kata pemuda beragama Kristian itu.

“Saya senang dan asyik sekali berlakon dengannya. Memang keserasian antara kami cepat wujud. Di Indonesia selalunya kalau digandingkan dengan bakat baru, keserasian itu lambat wujud dan sekali gus mewujudkan kesukaran. Tetapi berbeza sekali dengan Elfira, dia memudahkan kerja lakonan saya,” katanya yang berdarah kacukan Manado, Belanda dan Jawa.

Diaju persoalan cinta lokasi yang pernah dikaitkan dengannya, Randy yang bakal ke set penggambaran drama aksi bergandingan dengan Luna Maya menjawabnya dengan tenang. Sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Donita, gandingannya dalam drama Cinta Fitri.

“Cinta lokasi seperti mana yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini memang tak pernah wujud. Media di Indonesia juga gemar membuat spekulasi sekali gus memberi promosi kepada drama yang disiarkan. Bayangkan ketika berlakon dalam Nada Cinta pun timbul cerita saya dikaitkan dengan heroinnya,” katanya yang boleh diikuti di laman Twitter di bawah nama @randpunk.

Mengenai kisah peribadi, Randy tidak berselindung mengenai kenyataan dirinya yang sudah berpunya. Tetapi dia tidak selesa menceritakannya secara terbuka apatah lagi media di Indonesia terlalu ekstrim mengejar cerita peribadi berbanding soal kerjaya.

“Saya lebih selesa mengejar cita-cita sebagai anak seni. Lakonan dan nyanyian sebenarnya datang seiring. Cuma saya boleh katakan keterujaan saya lebih kepada berlakon. Tawaran membikin album itu ada, cuma belum tiba masanya. Cukuplah saya tampil dengan single demi single dulu,” kata penyanyi lagu Lewat Semesta, I Need You (runut bunyi drama Nada Cinta) dan Tanpamu Ku Tak Bisa.

INFO

Elfira Loy

NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
UMUR: 17 tahun
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DARAH CAMPURAN: Melayu, Cina dan Arab
KOMERSIAL TV: Institut Jantung Negara (IJN), Honda Icon, Mee Sedap dan Chikades

Randy Pangalila

NAMA PENUH: Randy Dionysius Pangalila
UMUR: 20 tahun
TARIKH LAHIR: 19 Oktober 1990
DRAMA: Alisha, Gue Banget, Cinta Kirana, Cinta Melody, Nada Cinta, I Love You, Cinta Fitri, Cinta Piano
FILEM: Oh Baby, Kutukan Suster Ngesot, Saya Cinta, Bajingan, Pasangan Romantis, Tiga Cinta.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas