'Beri saya masa'
Remy berteka-teki mengenai desas-desus hubungan dengan Tiz berakhir

SERBA salah dan berubah sedikit wajah pelakon, Remy Ishak saat ditanyakan kesahihan berita dia sudah berputus kasih dengan Tiz Zaqyah. Mungkin tidak sangka soalan itu akan ditanya atau dia tidak mempunyai jawapan menyebabkan reaksi spontan itu terpancar pada wajahnya.
Sejak gosip pasangan popular itu berpisah tersebar, hanya kenyataan Tiz yang kedengaran. Dia menafikan perkara itu. Sedangkan Remy, tiada sebarang komen diberi. Sebaliknya dia hanya mendiamkan diri sehingga membuatkan ramai menyangka, berita perpisahan itu benar.


Justeru, ketika bertemu pelakon itu sewaktu pratonton filem Bunohan di TGV KLCC, baru-baru ini, soalan itulah yang ditanyakan kepada jejaka ini. Selain mahu berlaku adil, manalah tahu jawapan yang diberikan Remy nanti akan menguatkan kenyataan Tiz, antara mereka masih lagi pasangan kekasih.

Bagaimanapun, jawapan Remy makin menambahkan teka-teki, kerana tiada penafian atau pengesahan dibuat.

“Maaf, saya memang tidak mahu memberi komen berhubung perkara ini. Cukuplah sekadar saya mengatakan yang kami masih berkawan dan kami masih lagi berhubung,” demikian katanya apabila ditanyakan kesahihan cerita dia sudah berpisah dengan pelakon filem Cinta Kura-Kura itu.

Jika benar antara mereka masih mempunyai hubungan, sudah pasti Remy akan bertindak seperti Tiz yang sepantas kilat menepis dakwaan mengatakan mereka sudah berpisah. Namun, apabila soalan itu diajukan kepada Remy, amat sukar untuk dia menjawab pertanyaan itu dengan yakin.
Apa yang kedengaran hanyalah permohonan maaf yang terpacul dari bibirnya kerana tidak dapat memberi ulasan lanjut.

“Kalau boleh saya memang tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkara ini. Berilah saya masa,” katanya mengharap pengertian.

Ditanya benarkah hubungan itu terlerai kerana Tiz sudah mempunyai kekasih baru, sambil menyusun sepuluh jarinya sebagai isyarat untuk menjaga nama baik temannya itu, Remy membiarkan pertanyaan itu tanpa jawapan.

Desas-desus mengatakan pasangan ini berpisah mula dikesan apabila laman sosial milik kedua-dua artis ini menggambarkan hubungan mereka sedang berantakan.

Sementara itu, jika tahun lalu nama Remy dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, apakah kali ini Remy mampu mengungguli kategori sama? Persoalan ini timbul apabila sejak kebelakangan ini, populariti bintang Nur Kasih ini bagaikan suram berbanding zaman watak Adam lakonannya meletup di kaca TV.

Mengulas perkara itu, Remy berkata, dia mengakui popularitinya tidak sehangat seperti pada awal kemunculannya dulu.

“Memang saya akui populariti saya tidak sehebat tahun lalu. Tahun ini tidak banyak produk saya disiarkan di kaca TV atau panggung. Semuanya masih menunggu giliran untuk ditayangkan. Justeru, untuk pencalonan tahun ini, saya memang tidak meletakkan harapan tinggi,” katanya.