Debar Malam Puisi Riong GAMBAR kanan, Sofi Jikan.
Pembaca setia dan baru dijemput datang beramai-ramai

DEBAR Malam Puisi Riong Edisi Khas bersempena Fiesta BH pada 7 Julai ini di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, jam 8 malam semakin kencang terutama dalam kalangan penyair, deklamator, selebriti dan jawatankuasa penganjur.
Pengarah Institut Perguruan (IPG) Pendidikan Islam, Kampus Bangi, Osman Hussain, bakal tampil di pentas sambil ‘ditemani’ tiga pensyarahnya, Husin Patehdin, Siti Hajar Idrus dan Mastura Berawi serta Kumpulan Orkestra Tradisional IPG yang dianggotai pelajar IPG sendiri.


“Puisi Inilah Bentangan Peradaban Yang Bukan Senyampang yang memuatkan sejarah BH ditulis khusus untuk Malam Puisi Riong Edisi Khas dengan tema Merentas Generasi, dihasilkan dengan mengadakan kunjungan ke Balai Berita bagi memastikan emosinya dapat turut diadun,” katanya kepada Sastera, baru-baru ini.

Tiga pensyarahnya pula akan menyampaikan syair, gurindam dan seloka, sambil diiringi muzik gamelan, angklung, caklempong dan kompang, bagi memastikan Malam Puisi Riong Edisi Khas lebih meriah.

Fiesta BH bersempena sambutan ulang tahun ke-55 BH dalam industri persuratkhabaran negara bertujuan mendekatkan pembaca setia dan baru dengan BH melalui kempen besar-besaran bagi memperkenalkan wajah baru BH mulai 1 Julai lalu.

Turut tidak dilupakan untuk memeriahkan Malam Puisi Riong Edisi Khas ialah bekas kakitangan BH yang banyak menyumbang kepada perkembangan akhbar yang antaranya Editor Sastera BH, Sutung Umar RS yang cergas dalam dunia deklamasi puisi.
“Saya ada banyak koleksi puisi, tetapi untuk Malam Puisi Riong Edisi Khas saya masih belum membuat keputusan. Pengalaman saya menjayakan dan mengatur program Malam Puisi Riong BH banyak. Suka saya ingatkan, acara puisi sewajarnya menonjolkan puisi sebagai tunjangnya.

“Boleh diselitkan persembahan sampingan, tetapi biarlah berpada-pada dan janganlah sampai menenggelamkan puisi,” katanya yang memulakan kerjaya editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1974, sebelum berhijrah ke BH.

Ketua Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid, juga bakal menceriakan acara pada malam itu melalui puisi, Merentas Generasi karya wartawan sastera BH, Nazmi Yaakub, seiring dengan perkembangan BH yang bermula pada 1 Julai 1957.

Selain persembahan deklamasi puisi, Kumpulan muzik etnik Melayu, Dewangga Sakti yang dipilih membuka tirai majlis dengan penyampaian medley lagu tradisional dan lagu ciptaan mereka sambil diiringi gambus, biola, gitar, gendang dan akordeon.

Naib Juara Mentor Musim ke-4, Shiha, akan turut menghiburkan khalayak malam itu dengan dendangan lagu puisi dan lagu popular, di samping deklamasi puisi Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) Sea 2004 dan 2005, Dr Zurinah Hassan dan Abdul Ghafar Ibrahim atau Agi.

Aktres yang juga penulis kolum BH Ahad, Nur Fazura; pemenang kategori Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Tasha Shila dan Miss World Malaysia 2009/2009, Soo Wincci, dijadualkan turut beraksi.

Peminat setia BH dijemput hadir beramai-ramai ke Malam Puisi Riong Edisi Khas dan Fiesta BH pada 7 hingga 8 Julai ini kerana gerai berkaitan unit BH seperti BH Online, Hiburan, Sukan dan Pendidikan dengan kegiatan khas turut disediakan untuk mereka kunjungi.

Sofi Jikan di pentas puisi

BAGAIMANA agaknya gelagat pelakon yang terkenal dengan watak antagonis menerusi filem, KL Gangster dan Bohsia 2: Jangan Pilih Jalan Hitam, Sofi Jikan, apabila berdiri di pentas puisi pada Malam Puisi Riong Edisi Khas nanti?

Sofi ketika dihubungi menyifatkan jemputan BH kepadanya untuk beraksi di pentas puisi seperti sirih pulang ke gagang kerana beliau sudah lama meninggalkan dunia puisi, meskipun sebenarnya ia dekat dalam hatinya.

“Apa yang akan saya pentaskan pada malam itu biarlah disimpan sebagai kejutan dan cukup sekadar saya katakan ia berlegar dalam kehidupan anak seni yang bergelumang dengan pelbagai cabaran.” katanya yang sebelum ini banyak terbabit pada Malam Baca Naskhah Sindiket Soljah.