Tayangan perdana filem 8 Jam terpaksa dibatal kerana David kematian bapa mentua

TIADA niat tersembunyi. Sebaliknya, ‘tauke’ MIG Pictures, David Teo ada alasan mengapa majlis tayangan perdana filem 8 Jam lakonan Shaheizy Sam dan Yana Samsudin terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
Ditanya mengapa perkara itu berlaku hingga pengarah Ahmad Idham terpaksa menganjurkan sendiri majlis tayangan dengan mengundang wakil media arus perdana menonton filem ke-50 terbitan MIG Pictures itu, David berkata, tidak timbul istilah ‘terpaksa’.

Dalam hatinya, David yakin Ahmad Idham faham situasi yang sedang dihadapi. Sekalipun tidak mengadakan majlis tayangan perdana, soal publisiti tidak pernah diabaikan. Ini kerana katanya, MIG Pictures sudah menempah iklan besar-besaran dalam akhbar dan televisyen bagi mempromosi filem 8 Jam.

HIP (H): Apakah benar dakwaan kononnya David sengaja tidak mahu mengadakan majlis tayangan media filem 8 Jam kerana hendak membalas dendam?
David Teoh (DT):
Saya bukan sengaja tidak mahu anjurkan tayangan media filem 8 Jam. Sebenarnya, beberapa minggu sebelum filem itu menjengah pawagam, kita memang merangka untuk menganjurkan majlis itu. Bagaimanapun, kira-kira dua minggu lalu, bapa mentua saya meninggal dunia.
Jadi, semua perkara yang sudah dirancang terpaksa dibatalkan pada saat akhir, malah majlis perkahwinan Irma Hasmie juga saya tidak dapat hadir kerana dalam tempoh berkabung.

H: Tetapi kenapa kami tidak dimaklumkan mengenai berita kematian itu? DT: Orang Cina berkabung 49 hari, dalam tempoh itu kami tidak boleh menganjur atau hadir sebarang majlis. Tetapi, saya ada maklumkan kepada media yang ingin menonton filem ini supaya pergi dulu dan saya berjanji akan membayar semula kos mereka. Ketiadaan sesi pratonton itu langsung tiada kena-mengena dengan Ahmad Idham.
Saya tidak memusuhi dia, bagi saya, cukuplah segala tunjuk ajar yang diberikan kepadanya selama ini. Dia pun sudah terkenal dan hidup senang, lagi pun, kami sama-sama sibuk manalah ada masa untuk berjumpa.

H: Namun, kenapa MIG Pictures anjurkan program yang mana peminat bertuah ditawarkan tiket untuk menghadiri sesi pratonton filem 8 Jam pada hari sama filem itu masuk panggung?
DT:
Pratonton untuk peminat sudah dirancang awal. Ini kerana kami menganjurkan peraduan sempena filem itu. Peraduan dikelolakan melalui fanpage saya dan MIG Pictures. Tetapi ketika diadakan sesi pratonton untuk peminat, saya tidak hadir.
Ketika bapa mentua saya meninggal dunia, semua aktiviti terbatal. Malah hampir seminggu juga saya tidak masuk ke pejabat kerana kami sekeluarga pulang ke Segamat, Johor untuk majlis pengebumian. Lagi pun, isteri saya masih bersedih, takkanlah saya mahu meninggalkan dia.

H: Tidakkah anda takut filem 8 Jam tidak mendapat publisiti kerana tiada ulasan daripada media?
DT:
Sekarang kami hanya bergantung kepada publisiti melalui iklan di akhbar dan televisyen. Saya membelanjakan hampir setengah juta ringgit untuk tujuan promosi. Promosi dilakukan secara besar-besaran, tiada langsung bajet yang dipotong.
Dengan perbelanjaan besar yang dikeluarkan, saya yakin ia dapat membantu menarik penonton untuk ke panggung. Sejak menjengah panggung pada 5 Julai lalu, filem 8 Jam sudah pun mencecah RM 1.5 juta. Walaupun tidak begitu besar, namun saya tetap berpuas hati.

H: Apa pula pandangan anda apabila Ahmad Idham seakan terpaksa memanggil sendiri media untuk menonton filem itu?
DT:
Bagi saya tiada istilah terpaksa. Saya kira memang sudah tiba masanya untuk dia berdikari.