Sukan

‘Semua perlu bantu Zulfadli’



Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong secara peribadi mahu bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli mempertimbangkan semula tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya menyertai badan induk itu.

Menurutnya, sekiranya Zulfadli menerima tawaran itu, ia akan memberi banyak kelebihan kepadanya kerana di BAM terdapat jurulatih yang terbaik, rakan sparring yang ramai dan berkualiti serta kemudahan latihan dan khidmat sokongan yang lengkap.

“Tapi beliau memilih untuk berada di bawah KLRC yang menawarkan kemudahan lebih baik dari apa yang disediakan oleh BAM. Semua pihak harus menghormati keputusannya.

“Yang penting sekarang semua pihak harus memainkan peranan untuk membantu memajukan bakat yang ada pada pemain ini dan tidak mengambil kesempatan daripada potensi yang ada pada beliau. Kalau tidak kita akan kehilangan sebutir lagi permata yang berharga.” katanya.

Sementara itu, Zulfadli yang tidak dinamakan BAM dalam senarai calon berpotensi menggantikan Lee Chong Wei di Olimpik 2016 dilihat masih berpeluang untuk mengikuti program ke Rio de Janeiro dengan menggunakan pengaruh MSN.

Pengarah Cawangan Atlit Elit MSN, Ariffin Ghani, berkata sebarang program membabitkan latihan atlit negara seperti persediaan ke Olimpik, adalah kerjasama dua hala antara badan itu dan persatuan sukan.

"Kebiasaannya kita akan duduk bersama untuk berbincang dengan BAM tentang 'future plan' yang membabitkan atlit.

"Bagaimanapun, buat masa ini kita sedang menunggu BAM untuk 'settle down' dahulu dan saya difahamkan mereka akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi.

“Selepas itu barulah kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja bersama mereka," katanya kepada BERNAMA, semalam.

BH Sukan kelmarin melaporkan Zulfadli tidak tersenarai dalam antara lima pemain muda perseorangan yang mampu menjadi pengganti Chong Wei di Olimpik Rio.

Pemain yang menjadi pilihan BAM adalah Chan Kwong Beng, Liew Daren, Chong Wei Feng, Mohd Arif Abdul Latif dan Misbun Ramdan Misbun.

Ariffin berkata perkara itu belum diputuskan memandangkan pihaknya masih belum menerima sebarang cadangan daripada BAM.

"Setakat ini saya tidak berani komen apa-apa (tentang isu Zulfadli) kerana belum mendengar sendiri daripada BAM. Apa yang pasti setiap program membabitkan atlit adalah tanggungjawab bersama antara MSN dan BAM," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa kerja MSN-BAM dijangka diadakan pada Oktober ini.