‘Perniagaan emas kami sah’

‘Perniagaan emas kami sah’

Mohd Izham Unnip Abdullah | thaddius@bharian.com.my
2012/10/09

Kota Kinabalu: Syarikat Worldwide Far East Berhad yang dikaitkan dengan kegiatan pelaburan dan pengambilan deposit haram, mendakwa menjalankan jual beli emas secara sah dengan disertai 2,000 pelanggan, kebanyakannya di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Dr Noor Ismahanum Mohd Ismail, berkata syarikat itu yang beroperasi sejak dua tahun lalu, memiliki lesen perniagaan dan kebenaran menjalankan urus niaga emas daripada polis serta transaksi menggunakan borang pembelian.

Pernah mohon lesen BNM

Katanya, syarikat itu pernah memohon lesen daripada Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi dikatakan memadai dengan memiliki lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi.

“Surat jawapan BNM mengenai perkara itu kita simpan dan dijadikan panduan untuk menjalankan urus niaga emas. Setakat ini, kita berjaya mengumpul 2,000 pelanggan dengan nilai pembelian terkumpul RM300 juta.

“Pelanggan terbesar ialah di Sabah dengan 1,500 orang. Kita menjalankan jual beli emas seperti di kedai emas biasa dan menawarkan dividen dua kali setahun bagi pelanggan yang menyimpan emas untuk diniagakan.

Nafi ambil deposit haram

“Saya menafikan tuduhan BNM yang mengatakan syarikat ini menjalankan perniagaan secara salah termasuk mengambil deposit haram,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan perkara itu, di sini, semalam.

Sesi penjelasan yang dihadiri 200 pelanggan, dibuat berikutan serbuan BNM terhadap pejabat syarikatnya di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur, atas dakwaan menjalankan kegiatan pelaburan dan pengambilan deposit secara haram dengan berselindung di sebalik urus niaga emas, Jumaat lalu.

Noor Ismahanum mendakwa serbuan itu menyebabkan syarikat berkenaan kerugian RM3.5 juta kerana tidak dapat menjalankan urus niaga selama tiga hari sehingga semalam, selain menimbulkan kebimbangan pelanggan.

Cara serbuan meragukan

Katanya, cara serbuan dibuat turut menimbulkan persoalan apabila kakitangan di pejabat berkenaan diminta mematikan kamera litar tertutup (CCTV) sebelum pegawai BNM dan polis masuk mengambil dokumen serta komputer syarikat.

“BNM tidak sepatutnya membuat serbuan kerana saya sedia memberi kerjasama jika pegawainya mahu menyiasat urus niaga syarikat. Apa yang mengecewakan, sehingga hari ini (semalam) BNM tidak menghubungi saya.

“Lagipun, kita bukan saja menjalankan jual beli emas, malah turut terbabit dalam bidang pembinaan, pembuatan, penerbitan, pengurusan acara dan pengedaran aksesori motosikal berkuasa tinggi, termasuk di Indonesia,” katanya.

Bayar dividen kedua RM100j

Beliau berkata, syarikatnya kini dalam proses menyelesaikan pembayaran dividen kedua bagi tahun ini kepada pelanggannya yang membabitkan pembayaran RM100 juta.

Selain syarikat itu, dua lagi syarikat turut diserbu BNM Jumaat lalu di ibu negara iaitu Pageantry Gold Berhad di Taman Danau Kota Setapak dan Caesar Gold Sdn Bhd di Batu 3, Jalan Klang Lama.