‘Pengadil punca gaduh’ Muhammad Afiq meraikan gol kedua Selangor ketika menentang Tentera yang turut menyaksikan dia dilayang kad merah.
Kuala Lumpur: Pergaduhan membabitkan pemain Selangor dan Tentera ketika aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu, berpunca daripada kesilapan pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaccob melayangkan kad merah kepada pemain tengah Red Giants, Shukur Jusoh.

Ia bukan disebabkan provokasi penyerang Selangor, Afiq Azmi atau tindakan pemain Tentera, Shukor Adan menolak kepala Shukur selepas pemain itu enggan keluar padang.
Amirul, 27, yang bergelar pengadil antarabangsa sejak tahun lalu menjadikan situasi pada perlawanan itu panas tiba-tiba apabila bertindak melayangkan kad merah kepada Shukur pada minit ke-117, tetapi seminit kemudian selepas menyedari kesilapannya, membenarkan pemain Selangor itu masuk semula ke padang.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT), Kol Abdul Rani Abdul Rahim, berkata jika pengadil tidak melakukan kesilapan melayangkan kad merah, sudah tentu tidak berlaku pergaduhan.

“Ini berpunca daripada kesilapan pengadil...jika tidak, sudah tentu tiada masalah pergaduhan berlaku dan perlawanan akan berakhir dengan suasana biasa tanpa kira siapa menang atau kalah.

“Lagipun Selangor dan Tentera tak pernah bermusuh dan hubungan kami sebelum ini sememangnya baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik hasrat Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin menyelesaikan masalah itu di luar Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
“Saya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Hamidin dan kami bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini secara baik,” katanya.