220 wanita layak dilantik Idris bersama peserta program Chairman Power Breakfast di Kuala Lumpur, semalam.
Peserta Program Pengarah Wanita diserap tahun depan

Kuala Lumpur: Seramai 220 pengurusan kanan sektor awam dan swasta yang menamatkan Program Pengarah Wanita (WDP) 2012 akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sektor korporat bermula tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata kerajaan yakin langkah proaktif itu dapat memastikan negara mencapai sasaran 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor swasta menjelang 2016, berbanding hanya 10 peratus ketika ini.
Beliau berkata, kajian beberapa badan perundingan antarabangsa termasuk McKinsey, mendapati kehadiran wanita di peringkat lembaga pengarah menguntungkan dan meningkatkan prestasi sesebuah syarikat.

WDP tidak wajib

Namun, katanya WDP bukan program latihan wajib sebaliknya atas dasar sukarela bagi pemimpin wanita yang berminat mengikutinya berdasarkan merit.

“Ia program tambahan membantu syarikat memiliki ahli lembaga pengarah wanita berpotensi kerana syarikat korporat tentunya mempunyai pelan penggantian untuk memilih calon mereka.

“Seterusnya 500 pemimpin wanita lagi akan mengikuti WDP bermula tahun depan,” katanya pada sidang media selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Program Chairman Power Breakfast, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Pengarah Institusi NAM bagi Penguasaan Wanita (NIEW), Tan Sri Rafiah Salim.
Antara kriteria peserta WDP ialah berjawatan tinggi dalam sektor swasta serta awam, berpengalaman dan berusia 45 tahun.

Majlis itu dianjurkan bagi memperkenalkan program dan peserta WDP kepada syarikat penyenaraian awam.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapan yang dibaca Idris berkata, pelaksanaan program WDP itu membuktikan keazaman kerajaan untuk menambah penyertaan wanita untuk berperanan dalam dunia korporat.

Dilengkapi kemahiran

Beliau berkata, peserta yang mengikut program bermula Jun lalu dilengkapi pelbagai kemahiran, termasuk tadbir urus korporat, kewangan, kemahiran insaniah, simulasi lembaga dan kejurulatihan.

“Lembaga pengarah adalah penentu kejayaan atau kegagalan syarikat. Oleh itu ahlinya perlu dilengkapi kemahiran dan kecekapan bagi memastikan prestasi mampan organisasi selain pengendalian risiko.

“Saya menyeru semua syarikat korporat, supaya melantik wanita menjadi ahli lembaga pengarah dalam menggalakkan kesamarataan gender,” katanya.