233 anggota MALBATT 4 pulang Anggota Kumpulan Kedua MALBATT 4 gembira setiba di Pangkalan Udara TUDM, Subang. - Foto Salhani Ibrahim
Misi pengaman bawa matlamat penting sangat membanggakan

Subang: Kumpulan 233 pegawai dan anggota kumpulan kedua Batalion Malaysia (MALBATT 4) yang menyertai misi pengaman di Lubnan selama setahun, selamat tiba di tanah air semalam.
Mereka yang diketuai Kolonel Badrul Hisham Muhammad, terdiri daripada 32 pegawai dan 201 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga wanita, selain anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), tiba kira-kira jam 3 petang di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sambil disambut meriah keluarga dan rakan setugas.


Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata pembabitan ATM dalam misi pengaman di luar negara membawa matlamat penting bukan saja kepada negara, tetapi juga dunia.

Semangat kerjasama

“Secara keseluruhan, prestasi MALBATT 4 ketika bertugas di bawah Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sana sangat membanggakan. Mereka bukan saja memberikan komitmen baik sepanjang bertugas, malah menunjukkan semangat kerjasama yang teguh.

“Segala aktiviti atau program yang dilaksanakan, mendapat reaksi positif pemimpin dan penduduk tempatan. Sebagai negara yang cintakan keamanan dan keharmonian, menjadi tanggungjawab Malaysia menyokong penuh usaha PBB dan masyarakat antarabangsa untuk memelihara keamanan dan keselamatan sejagat,” katanya.
Dalam teks ucapannya yang dibacakan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Zulkifeli berkata, Malaysia juga berbesar hati mendapat kepercayaan Brunei yang membenarkan ABDB bersama ATM melaksanakan misi United Nations Force In Lebanon (UNIFIL).