Sebahagian daripada 13 jemaah umrah dihantar pulang ke tanahair kerana dipercayai menyalahgunakan Visa Umrah tiba
di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA.
Semua jemaah terbabit yang memasuki Arab Saudi Julai lalu, dihantar pulang secara berperingkat mulai awal bulan ini, termasuk kumpulan terakhir seramai 13 orang semalam dengan kerjasama syarikat menguruskan pakej umrah.
Kenal pasti
Pengurus Destinasia, Muhd Norzi Md Ghazali, berkata pihaknya mengenal pasti muslihat jemaah umrah yang dipercayai ingin tinggal lebih masa sehingga musim haji dan belajar di sekolah pondok, selepas mereka tidak menaiki penerbangan ke Arab Saudi mengikut jadual.
Katanya, jemaah yang semuanya berasal dari Kelantan itu dipercayai mengelak mereka disambut wakil muassasah dilantik syarikat menguruskan pakej umrah sewaktu tiba di Jeddah.
“Usaha mencari dilakukan muassasah dan mutawif dilantik syarikat selain Kementerian Haji Arab Saudi selepas tempoh visa kumpulan itu berakhir Ogos lalu.
“Sebanyak 30 jemaah dikesan selepas gambar mereka diserahkan kepada pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Kumpulan terakhir 13 jemaah, termasuk empat wanita dan kanak-kanak berusia dua tahun yang menaiki pesawat Saudi Air itu tiba di KLIA pada jam 1.20 tengah hari.