Berikutan itu, penduduk di Kampung Lak Loh, Sungai Rek, Sungai Sam, Manek Urai Baharu dan Lama, Kampung Lata Rek dan Manjor mendesak pemimpin kerajaan negeri menyelesaikan segera masalah mereka.
“Kita sudah berulang kali melaporkan masalah ini kepada pemimpin kerajaan negeri termasuk wakil rakyat tempatan, tetapi nampaknya mereka buat tidak tahu saja semua aduan.
“Kalau gagal atau tidak mampu menyelesaikan masalah ini mereka sepatutnya berundur dan berilah kepada kerajaan lain memerintah Kelantan,” katanya.
Perniagaan terjejas
Mat berkata berikutan masalah bekalan air itu menyebabkan beliau menanggung kerugian kerana perniagaannya terjejas.
Setiap hari beliau menanggung rugi lebih RM1,000 kerana bukan saja ikan keli dan patin ternakannya tidak boleh dipasarkan, malah kebanyakan ikan mati.
“Hampir setiap hari ikan keli dan patin yang saya ternak dalam enam kolah mati kerana tidak dapat menukar air yang kotor,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Nawi Mohamad, 69, berkata kerajaan negeri sepatutnya memandang serius setiap masalah yang dihadapi penduduk khususnya bagi menyelesaikan isu bekalan air dihadapi mereka.
Beliau berkata sejak perkara itu dilaporkan kepada pemimpin kerajaan negeri hampir sebulan lalu belum ada yang datang bertanya.
“Sikap pemimpin ini hanya mahu kepada rakyat pada musim pilihan raya saja, ”katanya. - BERNAMA



