2 parah terkena mercun buatan sendiri dibaling rakan

2 parah terkena mercun buatan sendiri dibaling rakan

2012/08/10

Jertih: Dua lelaki cedera termasuk seorang parah terkena mercun buatan sendiri dibaling rakan di Kampung Kubang Ikan, Kampung Raja, di sini malam kelmarin.

Mohamad Hadi Salleh, 19, parah di kepala, manakala pelajar Tingkatan Tiga, Wan Mohammad Haiman Shafiq Wan Mohd Khairuddin, 15, cedera di mata, pergelangan tangan kanan dan bahu kiri dalam kejadian jam 9 malam itu.

Dua sahabat itu mulanya dihampiri seorang rakan sekampung berusia 18 tahun yang kemudian tiba-tiba membaling mercun buatan sendiri ke arah mereka. Hadi dan Haiman dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan sebelum mangsa yang parah dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Suspek ditahan

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata satu laporan dibuat di Balai Polis Kampung Raja sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menahan suspek di rumahnya,jam 5.30 pagi semalam.

“Pemeriksaan lanjut di rumah itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang. Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 7 (B) Akta Bahan Letupan 1957 dan dia mengaku membaling mercun berkenaan yang dibuat menggunakan sebatang paip ke arah kedua-dua mangsa,” katanya.

Dua ditahan miliki mercun

Dalam kes lain, Noorzainy berkata, polis menahan dua lelaki berusia 21 dan 25 tahun dalam serbuan berasingan, masing-masing di sebuah tempat letak kereta di Majlis Daerah Besut dan Kampung Nyiur 7, Jertih di sini kerana memiliki mercun dengan nilai rampasan keseluruhan RM1,300.