Nasional
30 peratus peminjam TEKUN tak bayar hutang
2010/06/28
PEKAN: Kira-kira 30 peratus daripada 170,000 peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau Tekun Nasional (TEKUN) di seluruh negara masih gagal membayar semula pinjaman yang dibuat sejak agensi terbabit ditubuhkan pada 1989.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan, berkata kebanyakan peminjam gagal membayar semula pinjaman akibat perniagaan mereka bermasalah.
“TEKUN sudah memberikan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion kepada kira -kira 170,000 peminjam dan daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus membuat pembayaran semula selepas kami menjalankan operasi mengutip hutang.
“Hanya tinggal 30 peratus yang masih gagal menjelaskan hutang kerana perniagaan yang mereka ceburi tidak berdaya maju selain mengalami masalah dan kerugian,” katanya selepas Majlis Jamuan Petang Perdana Jasamu Dikenang dan Penyampaian Pinjaman Kepada Usahawan TEKUN, di sini kelmarin.
Pada majlis itu, sejumlah RM1.2 juta pinjaman TEKUN diserahkan kepada kira-kira 187 pemohon di daerah ini yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Abdul Rahim berkata, pihaknya bersedia melonggarkan syarat bayaran balik kepada peminjam.