35 IPT diiktiraf cemerlang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi
Pencapaian berdasarkan pengajaran dan pembelajaran

Shah Alam: Sebanyak 35 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menerima pengiktirafan cemerlang menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian tinggi (SETARA) 2011 berbanding 18 IPT pada 2009.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sebilangan besar universiti dan kolej universiti menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam SETARA 2011.
Daripada 32 universiti yang dinilai, empat universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia menerima pengiktirafan enam bintang, tertinggi dalam penarafan MyRA.

Katanya, SETARA adalah sistem penarafan dan bukan sistem kedudukan (ranking) yang menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran di sesebuah universiti atau kolej universiti.

Bagaimanapun, katanya, tiada universiti mencapai tahap enam atau terbilang atau tahap satu dan dua bintang, iaitu lemah dan memuaskan.

UUM antara cemerlang

IPT awam yang menerima pengiktirafan cemerlang termasuk Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.
IPT swasta yang menerima pengiktirafan sama antaranya Universiti Multimedia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Petronas, Kolej Universiti Sunway, Universiti Teknologi Curtin Kampus Sarawak, Universiti Monash Kampus Sunway, Kolej Universiti Taylor's dan Kolej Universiti Nilai.

Mohamed Khaled turut mengumumkan penarafan bintang bagi mengukur program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan mengikut Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) terhadap IPT yang terbabit dalam program berkenaan.

Beliau berkata, sejak MyRA dilaksanakan pada 2007, tahun ini julung kali keputusannya didedahkan kepada umum.

Enam bintang

Daripada 32 universiti yang dinilai, empat universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia menerima pengiktirafan enam bintang, tertinggi dalam penarafan MyRA.

IPT yang menerima pengiktirafan lima bintang pula ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi PETRONAS.

Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Teknologi Petronas turut terpilih untuk masing-masing menerima inisiatif geran bernilai RM5 juta sebagai galakan membangunkan program penyelidikan.

Katanya, kedua-dua sistem penilaian itu (SETARA dan MyRA) digunakan untuk membuat dasar termasuk penetapan dasar penting dan untuk membangunkan usaha memantapkan universiti di negara ini.

Jawatankuasa bebas

“Proses dan mekanisme penilaian kedua-dua SETARA dan MyRA dilaksanakan dua jawatankuasa bebas berasingan yang masing-masing dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jabatan Pengajian Tinggi.

Mohamed Khaled berkata, penarafan itu juga bertujuan mendidik orang awam untuk membuat pemilihan universiti berdasarkan kepada bintang yang diperoleh IPT terbabit selain mendapat pengiktirafan daripada masyarakat antarabangsa.

Ditanya mengapa penilaian selepas ini dibuat tiga tahun sekali bukan lagi dua tahun, Mohamed Khaled berkata ia untuk memberi peluang kepada IPT memperbaiki kekurangan masing-masing.