35 korban bencana alam di Seoul ANGGOTA penyelamat membawa keluar mayat yang tertimbus di dalam tanah runtuh berikutan hujan lebat selama dua hari di Seoul, semalam.
Tanah runtuh kerana hujan lebat

CHUNCHEON: Sekurang-kurangnya 35 terbunuh semalam selepas hujan lebat selama dua hari mengakibatkan tanah runtuh, banjir dan terputusnya bekalan tenaga di Seoul dan wilayah tengah.

Tanah runtuh akibat hujan lebat melanda pusat peranginan pergunungan di timur Seoul, Korea Selatan awal pagi semalam, memusnahkan empat bangunan termasuk dua hotel kecil dan meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa, kata pegawai bantuan kecemasan.
Cuaca buruk melanda sejak lewat kelmarin menyebabkan banjir dan menyekat pergerakan pengangkutan, sementara harga saham jatuh berikutan kebimbangan kos kemusnahan yang boleh mencecah jutaan dolar.


Kebanyakan mangsa adalah pelajar kolej yang membuat kerja sukarela di kawasan itu.

“Jumlah kematian mungkin meningkat ketika laporan terbaru terus diterima,” kata pegawai di Agensi Pengurusan Kecemasan Negara yang dipetik akhbar Korean Herald.

“Saya tidur di tingkat dua bangunan apabila terdengar bunyi tanah runtuh. Tangga jatuh dan saya tertanam dalam lumpur,” kata seorang pelajar kolej yang diselamatkan bomba.

Di CHUNCHEON, kira-kira 100 kilometer timur Seoul, pekerja penyelamat masih mencari mangsa dalam timbunan runtuhan hotel, restoran dan kedai kopi yang berlumpur untuk mencari orang hilang.
Penduduk tempatan melaporkan bunyi seumpama kereta api ketika bangunan runtuh.

Pegawai berkata, kira-kira 20 orang cedera apabila dinding lumpur menghentam bangunan berdekatan pusat peranginan Empangan Sungai Soyang sejurus selepas tengah malam.

Media tempatan melaporkan 35 pelajar kolej dan kira-kira 40 pelancong menginap di beberapa hotel kecil.

Pekerja penyelamat masih cuba mencari enam lagi yang masih terperangkap dalam bangunan, manakala 26 lagi sudah dibawa ke hospital berdekatan, lapor agensi berita Yonhap.

Hujan tanpa henti lebih 24 jam dengan curahan sebanyak 400 milimeter turut mengakibatkan banjir kilat, tanah runtuh dan penutupan jambatan di Seoul.

Bekalan elektrik terputus dan khidmat kereta api turut digantung. Stesen kereta api bawah tanah bertukar menjadi seumpama kolam renang, kata penumpang yang terperangkap.

Pekerja kecemasan berkata, sekurang-kurang empat maut dalam kemalangan yang membabitkan cuaca buruk. Biro kaji cuaca menjangkakan hujan lebat berterusan untuk tempoh 48 jam.

Di selatan Seoul, sekurang-kurangnya lima terbunuh, manakala beberapa orang dikhuatiri hilang selepas kampung berdekatan Gunung Umyeon diranapkan tanah runtuh. Lebih 60 orang terperangkap. Lebih 400 kes banjir dilaporkan di ibu negara saja. – Reuters/Agensi