Namun, jangankan sepasang baju baru, empat beradik itu juga tidak memiliki sijil kelahiran kerana ibu mereka tidak mampu membayar denda akibat lewat mendaftarkan kelahiran anak-anaknya.
Mohd Norizyan, 6 dan adiknya, Nurul Syafika, 5, leka bergurau dan bermain, manakala adik bongsu mereka, Shahirah, 3, nyenyak di pangkuan ibu walaupun tempias hujan hampir membasahi tubuhnya.
Ketika ditanya, Norizyan dengan malu-malu berkata, beliau dan dua adiknya menemani ibu mengemis kerana abang sulung, Mohd Firdaus menemani ayah mereka yang sakit di rumah.
Kasihan tengok emak seorang, jadi kami ikut. Emak pun suka kami ikut kerana boleh teman dia kerja, katanya.
Ibu mereka, Esah Mohamad, 46, berkata perasaan malu terpaksa ditolak tepi kerana perlu mencari wang bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka anak beranak kerana suaminya, Mohd Riduan Abdullah, seorang mualaf, tidak lagi mampu bekerja akibat sakit.
Sejak suami berhenti kerja, kedudukan kewangan kami mula merosot. Puas mencari kerja, tetapi tidak ada yang mahu mengambil kakak. Cuba meminta kerja di restoran, mereka lebih suka mengupah pekerja asing, katanya.
Esah berkata, berlapar dan hanya bergantung kepada air kosong bukan perkara asing kepada mereka. Nasi berlauk kicap adalah menu lazim, sekali-sekala ada telur dan ikan masin, manakala sardin dalam tin dianggap sebagai makanan mewah yang tidak mampu dinikmati selalu.
Rumah flet murah yang kakak duduki sekarang ini pun ihsan gereja. Mereka mahu membantu, tetapi meminta kakak dan keluarga datang ke sana setiap hujung minggu untuk mendengar ucapan keagamaan mereka dan mengikuti upacara di situ, katanya.
Dia mengaku kadangkala terlintas di hati untuk ke gereja itu dan menerima bantuan yang ditawarkan, tetapi sisa iman yang tinggal menghalangnya berbuat demikian.
Kakak takut akan terpengaruh ke sana jika sudah terdesak. Pernah sebelum ini kakak pernah terfikir untuk menamatkan riwayat anak-anak kerana tidak sanggup melihat mereka terus hidup dalam kesempitan. Mujur kakak masih boleh berfikir dengan waras, katanya.
