gambar sebelum  gambar berikut
Foto

AKHBAR Britain menjadikan pendedahan WikiLeaks sebagai tajuk utama.

Foto

Foto

WikiLeaks siar bukti jenayah perang tentera penjajah

LONDON: Butir-butir penderaan dan pembunuhan orang awam didedahkan secara terperinci dalam ratusan ribu dokumen tentera Amerika Syarikat disiarkan WikiLeaks, pertubuhan antarabangsa yang menyiarkan maklumat sulit tanpa mendedahkan sumbernya, semalam.
Hampir 400,000 halaman mendedahkan rahsia tentera selama lima tahun iaitu pembocoran maklumat ketenteraan terbesar dalam sejarah, menceritakan pertumpahan darah dan derita rakyat Iraq selepas askar Amerika menceroboh negara itu untuk menggulingkan Saddam Hussein pada 2003.


Akhbar The Guardian berkata dokumen disiarkan menunjukkan ‘pihak berkuasa Amerika gagal menyiasat beratus-ratus laporan penderaan, penyiksaan, rogol malah pembunuhan oleh polis dan askar Iraq yang kerap terlepas daripada hukuman.

Akhbar itu menyatakan, lebih 15,000 orang awam mati tanpa diketahui sebabnya. Pegawai Amerika dan Britain, kerap bertegas tiada laporan rasmi kematian orang awam tetapi rekod menunjukkan 66,081 daripada 109,000 kematian berlaku bukan berpunca daripada pertempuran.

The Guardian menyatakan, ‘banyak laporan penderaan tahanan disokong bukti perubatan, ‘menceritakan bagaimana tahanan dirantai, ditutup mata, diikat pergelangan tangan atau kaki dan digantung malah dirotan, ditumbuk, ditendang atau dikenakan kejutan elektrik.

Enam laporan berakhir dengan kematian tahanan. Akhbar itu menambah, WikiLeaks dipercayai mendapatkan arkib elektronik daripada sumber sama ketika ia mendedahkan 90,000 dokumen perang Afghanistan.
Banyak dokumen sulit dari tempoh 2004 hingga 2004 mendedahkan dakwaan penderaan yang dilakukan pasukan keselamatan Iraq manakala yang lain menunjukkan bahawa tentera Amerika tidak berbuat apa-apa untuk menghalang penyiksaan itu.

Dokumen berkenaan yang kedua disiarkan WikiLeaks juga menuduh Amerika melakukan jenayah perang, selepas ia membocorkan 92,000 fail sulit tentera memperincikan operasi di Afghanistan. sebelum ini.

“Lebih 300 laporan bertulis menunjukkan tentera pakatan terbabit menyiksa dan mendera tahanan manakala lebih 1,000 kes dilaporkan mendapati pasukan keselamatan Iraq melakukan jenayah sama. Banyak kes yang secara jelas adalah jenayah perang dilakukan tentera Amerika seperti sengaja menembak mati orang yang cuba menyerah diri,” kata WikiLeaks dalam satu kenyataan akhbar.

Selepas WikiLeaks mendedahkan fail berkenaan kepada akhbar The Guardian, The New York Times, Le Monde dan Der Spiegel beberapa minggu lalu, ia menghantar mesej kepada laman sembang blok mikro, Twitter, untuk memilih wartawan dan mengundang mereka secara rahsia bagi melihat dokumen itu sebelum ia disiarkan.

Wartawan AFP melaporkan, satu daripada dokumen merekodkan dakwaan seorang tahanan Iraq yang didakwa ‘ditutup mata dan dipukul dengan wayar oleh polis Iraq dua malam berturut-turut berhampiran Ramadi pada 2008.

Seorang lagi tahanan mendakwa, selepas ditahan di rumahnya tahun lalu dan dipindahkan ke ibu pejabat tentera, ‘tangannya diikat ke belakang dan dia disuruh duduk membongkok, sebelum tapak kakinya dipukul dengan objek keras,
Stesen televisyen al-Jazeera berkata penemuan utama termasuk usaha tentera Amerika ‘menutup’ hukuman penyeksaan dan beratus-ratus kematian orang awam di pusat pemeriksaan yang dikawalnya selepas ia menceroboh Iraq pada 2003. – AFP