4,430 dikecuali bayar PTPTN Chee Heung diiringi Penolong Pengurus Kanan PTPTN, Zubir Che Embi bermesra dengan penerima PTPTN, Ooi Shee Min selepas majlis penyerahan wang pendahuluan pembiayaan PTPTN di Alor Star, semalam. - Foto Lim Poh Chin
Pengecualian babitkan peruntukan RM116.230 juta

Temerloh: Seramai 4,430 lagi pelajar dikecualikan membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf.
Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamad Ismail Said, berkata pengecualian membabitkan peruntukan RM116.230 juta.


“Hingga 30 Jun lalu, 13,011 pelajar dikecualikan membayar balik pinjaman kerana cemerlang dalam pelajaran membabitkan peruntukan RM370.70 juta,” katanya kepada BERNAMA selepas majlis berbuka puasa bersama saudara baru Orang Asli di Kampung Penderas, Kuala Krau, dekat sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kira-kira 70 peratus pelajar membayar balik pinjaman berikutan beberapa pendekatan dilakukan PTPTN, antaranya bersedia bertolak ansur dan menerima bayaran sekurang-kurangnya RM50 sebulan atau menjadual semula bayaran balik pelajar yang bermasalah.

Katanya, pembukaan beberapa cawangan baru PTPTN seperti di Pahang, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang turut membantu meningkatkan bayaran balik pinjaman kerana pelajar mudah berurusan berbanding sebelum ini di mana mereka hanya berurusan di ibu pejabat PTPTN.

Sasar buka cawangan di setiap negeri
“PTPTN menyasarkan membuka pejabat cawangan di setiap negeri menjelang akhir tahun ini bagi memudahkan pelajar berurusan, manakala pejabat cawangan PTPTN di Sabah dan Sarawak akan berpindah ke pejabat baru tidak lama lagi,” kata Ismail.

Katanya, kesedaran pelajar untuk membayar balik pinjaman semakin tinggi walaupun pembangkang menjalankan pelbagai tohmahan dan kempen untuk menghapuskan PTPTN.

Di Alor Setar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata PTPTN membiayai 1.99 juta pelajar yang melanjutkan pengajian tinggi sejak ditubuhkan 14 tahun lalu termasuk 162,529 pelajar dengan nilai pinjaman RM3.56 bilion di Kedah saja sehingga Jun lalu.

“Sepanjang 14 tahun itu, RM44.62 bilion dikeluarkan iaitu RM23.78 bilion kepada 1,371,754 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan RM20.84 bilion untuk pelajar swasta (IPTS). Walaupun rekod bayaran balik belum memuaskan, kerajaan tidak mahu pelajar sukar melanjutkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan wang pendahuluan pembiayaan (WPP) PTPTN di Dewan Serbaguna, Wisma Persekutuan Anak Bukit, di sini semalam. Pada majlis itu, 964 pelajar menerima WPP bernilai RM1,500 setiap seorang iaitu mereka yang berjaya mendapat tempat di IPTA dan bersetuju menerima pinjaman PTPTN. - BERNAMA