CYBERJAYA: Hampir 5,500 orang belia yang berumur dari 21 hingga 30 tahun telah mendaftar setakat 7 malam tadi untuk mendapatkan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) untuk pembelian telefon pintar peringkat permulaan pada hari pertama pendaftarannya dibuka.

Bilangan pendaftaran terus meningkat ketika kenyataan ini dikeluarkan.
Skim PKB dilaksanakan tujuh syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Clixster, DiGi, Maxis, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications dengan koordinasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kami bersyukur dan gembira dengan sokongan yang diberikan orang ramai terhadap skim ini. Sambutan menggalakkan ini menunjukkan bahawa masyarakat, khususnya golongan belia, bersedia bergerak dalam zaman ICT dan menerima baik perkembangan teknologi dunia internet,” kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Beliau berkata, kesan daripada sambutan yang menggalakkan itu, laman sesawang PKB iaitu komunikasibelia.skmm.gov.my dan nbi.skmm.gov.my telah mengalami sedikit gangguan kesesakan sejak ianya dibuka mulai 7 pagi tadi.

SKMM meminta orang ramai yang masih mencuba untuk mengakses laman sesawang berkenaan agar bersabar untuk sedikit masa lagi.

Masalah itu sedang ditangani oleh pasukan teknikal dan SKMM amat menghargai kesabaran orang ramai dan memohon maaf di atas kesulitan yang dialami.
Pendaftaran di bawah Pakej Komunikasi Belia dan skim Get Malaysian Business Online boleh dilakukan secara online dari 7 pagi hingga 11 malam.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi hotline SKMM di 1800-88-4040 dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.

SKMM juga ingin memaklumkan bahawa pihak penyedia perkhidmatan masih mengemaskinikan model-model telefon pintar dan senarai ejen-ejen mereka di laman sesawang masing-masing. Setakat ini terdapat lebih 20 jenis telefon pintar 3G yang ditawarkan.

Syarikat penyedia perkhidmatan yang melaksanakan skim ini telah komited untuk terus menambahbaik pilihan model telefon pintar dari semasa ke semasa dengan menawarkannya pada paras dan harga yang kompetitif seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Belia yang telah berdaftar juga dinasihatkan untuk membuat pilihan dengan bijak, meninjau pasaran terlebih dahulu dan membeli peranti pilihan berdasarkan tahap kemampuan masing-masing.

Senarai telefon pintar (mengikut abjad) yang akan ditawarkan adalah seperti berikut:

Alcatel 993D 2)
Alcatel OneTouch Glory 2 3)
Alcatel OneTouch Inspire 2 4)
Blackberry Torch 9800 5)
The Buzz Phone 6)
HTC Wildfire 7)
HTC Wildfire S 8)
Huawei Ideos X3 9)
LG Optimus L3 10)
LG L3 E400 11)
LG L3 E405 12)
Motorola XT311 13)
Ninetology Black Pearl II 14)
Ninetology Palette 15)
Nokia Asha 311 16)
Nokia Lumia 610 17)
Samsung Galaxy Chat 18)
Samsung Galaxy Mini 19)
Samsung Galaxy Pocket 20)
Samsung Galaxy Y 21)
Samsung Galaxy Y Duos 22)
Sony Xperia Tipo Dual 23)
Sony Xperia Tipo Single 24)
ZTE Acqua 25)
ZTE V790 - BERNAMA