Bomba dan penyelamat membawa mayat mangsa dari kereta Kancil yang terperosok di bawah lori pembancuh simen di Kilometer 24 Jalan Sri Aman-Sarikei, semalam.
Engkilili: Lima bersaudara termasuk bayi 11 bulan serta dua saudara mereka maut selepas kereta PERODUA Kancil dinaiki bertembung lori simen di Kilometer 24 Jalan Sri Aman-Sarikei, semalam.
Bagaimanapun pada jam 9.05 pagi, kereta dipandu Mohd Rachael Abdullah, 22, terbabas sebelum bertembung lori menghala ke arah Lubok Antu itu.
Akibatnya, Mohd Rachael; isterinya, Santi Minggat, 19; ibu Santi, Jamaah Ali, 42, dan Noraini yang berada dalam pelukan Jamilah, maut tersepit di dalam kereta yang sesak. Anak Mohd Rachael, Rizal Mustapha, 1, dan adik iparnya, Salbiah Minggat, 21, kini kritikal di Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohamad, berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman mengambil masa hampir sejam mengeluarkan mangsa.
“Siasatan awal mendapati kereta terbabit memasuki laluan bertentangan menyebabkan pertembungan kuat dengan lori simen. Lima mangsa maut di lokasi, manakala dua yang terselamat cedera parah,” katanya ketika dihubungi.
Salbiah dilaporkan patah kedua-dua belah kaki dan tangan kanan, manakala Rizal cedera di muka dan badan. Pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Seorang saksi yang bekerja di kedai runcit berdekatan, John Ambia, 25, berkata dia terdengar dentuman kuat ketika hendak memulakan kerja lalu bergegas ke tempat kejadian dan melihat kereta Kancil terperosok di bawah lori.
“Saya juga terdengar suara mengerang dan tangisan bayi. Beberapa pengguna jalan kemudian membantu mengeluarkan dua mangsa sementara menunggu pasukan bomba datang mengeluarkan mereka yang tersepit,” katanya.