KUALA LUMPUR: Tujuh maut manakala 39 lagi dilaporkan cedera selepas sebuah bas pelancongan yang membawa rombongan belia terbabas lalu terbalik di KM38 Genting Sempah dekat sini kira-kira 7.50 malam tadi.

Kemalangan membabitkan bas yang membawa 46 penumpang terdiri daripada ahli Belia 4B Kampung Siong, Baling dan dua pemandu bas itu berlaku ketika kenderaan itu menuruni Genting Highlands.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata bas berkenaan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu terbalik di laluan bertentangan.


Berdasarkan siasatan awal polis, masalah brek dipercayai menjadi punca kemalangan itu.

Timbalan Ketua Polis Gombak, Supt Rosly Hassan, memaklumkan daripada 46 mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu termasuk dua pemandu; tujuh mangsa maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan.

Mereka yang terbunuh berusia antara 13 tahun hingga 28 tahun, enam daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu guru agama dan juga ketua rombongan tersebut Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, mati dalam perjalanan ke Hospital Selayang.

Azizan berkata, bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.51 malam daripada bomba Bentong yang memaklumkan mengenai insiden itu.
Tujuh jentera bomba termasuk dari Bentong, Kuala Lumpur, Selayang dan Taman Melawati berkejar ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang antaranya tersepit di bawah bas.

Mangsa dibawa ke Hospital Bentong, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.

Mereka yang dilaporkan kritikal dan dibawa ke Hospital Selayang ialah Mohamad Fais Nasharuddin, 18 dan Ahmad Iswas Abd Halim, 15, manakala yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang ialah Mohd Shamsuri, 15; Mohd Ajril Azizi Azhari, 15; Mohd Akram, 19, dan Mohammad Hafifi Yahya, 19.

Mereka yang mendapatkan rawatan cedera ringan di hospital itu ialah Mohd Safuan Md Mokhtar, 20; Hafizudin Onan, 16; Muhamad Syakur Sulaiman, 19; Mohamad Nazren, 16 dan Faiz Syazwan Azlan, 18.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, turut melawat mangsa di Hospital Selayang.

Beliau meminta agar laporan polis dapat disiapkan segera untuk memastikan punca kemalangan sebenar sama ada ia masalah mekanikan atau kecuaian pemandu.

Sambil mengucapkan takziah kepada mangsa yang terkorban, Ahmad Shabery berkata pegawai kementeriannya akan membantu keluarga mangsa menguruskan jenazah.

Di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula, lapan mangsa yang cedera dihantar untuk rawatan di mana tiga mangsa mengalami cedera ringan manakala lima lagi parah.

Mohd Zairul Hafizat, 15, yang mengalami cedera ringan ketika ditemui di HKL berkata kemalangan berlaku ketika hujan renyai-renyai.

Dia yang baru tersedar dari tidur ketika kejadian mendakwa bas itu terbabas akibat brek bas yang "tidak makan".

Mohd Zairul berkata, lawatan sambil belajar itu disertai seramai 43 golongan muda antara 14 hingga 25 tahun dari beberapa kampung dari Daerah Baling yang diketuai oleh Mohd Zaidi.

Rombongan itu bertolak dari Kedah pada 11 malam tadi dan tiba di Genting Highlands pada 8 pagi tadi.

Rombongan itu bertolak kira-kira 7 malam tadi dari Genting Highlands untuk ke Kampung Melayu Subang bagi menyertai program homestay.

Mereka sepatutnya bertolak pulang pada 5 petang esok.

Mohd Zairul berkata, dia juga tidak mengetahui keadaan abangnya yang turut menyertai rombongan itu.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Amirul Shukri, 13, yang juga cedera ringan berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan tersedar ketika bas terbalik.

Katanya, dia berjaya keluar melalui tingkap bas yang pecah.

Di Hospital Bentong, Pahang, seramai 15 mangsa yang semuanya mengalami cedera ringan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Mohd Zahid Azmi, 15, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan terjaga apabila mendengar suara rakan-rakannya melaungkan "Allahuakbar" dan lari ke belakang bas.

"Bila saya sedar, semua yang berada di depan bas lari ke belakang sebab bas hilang kawalan," katanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Genting Highlands.

Mohd Saiful Mohamad Nor, 16, pula menyifatkan kejadian itu berlaku sekelip mata apabila bas yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik.

Beliau yang cedera di belakang badan dan luka di tangan mengakui serik untuk mengikuti rombongan seumpama itu.

Turut melawat mangsa yang tercedera di Hospital Bentong ialah Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai, iaitu Tan You Seng yang berkata pengangkutan akan disediakan untuk memindahkan semua mangsa yang cedera di Hospital Bentong ke Hospital Selayang awal pagi esok. - BERNAMA