Beberapa pekerja dan  pengusaha kilang mencari barangan  yang masih berguna, termasuk wang syilling dan acuan mesin yang tidak terbakar. Beberapa pekerja dan pengusaha kilang mencari barangan yang masih berguna, termasuk wang syilling dan acuan mesin yang tidak terbakar.
Pengusaha perabot perlu model mula semula perniagaan musnah akibat kebakaran

Shah Alam: Enam pengusaha perabot tempatan merayu kerajaan negeri dan Pusat membantu mereka memulakan semula perniagaan selepas kilang milik mereka di Jalan Kebun, di sini, musnah dalam kebakaran, petang kelmarin.
Mereka yang mendakwa kerugian besar akibat kejadian itu, kini hilang tempat bergantung, selain buntu kerana tidak tahu ke mana untuk mengadu bagi mendapatkan bantuan.

Wakil pengusaha, Zainudin Hamidi, berkata kebakaran yang berlaku ketika umat Islam sedang bersiap sedia menyambut Ramadan dan Aidilfitri itu menyebabkan mereka kerugian hampir RM400,000 apabila semua bekalan perabot serta mesin musnah sama sekali.

Keenam-enam mereka adalah pengusaha kecil dan sederhana yang bertapak dalam industri perabot itu sejak lebih enam tahun lalu dan menyewa secara berkumpulan di sebuah kilang yang sudah beroperasi lebih 20 tahun, di kawasan itu.

Zainudin berkata, beliau dan rakannya berharap dapat memulakan semula perniagaan dalam tempoh terdekat, tetapi buntu kerana ketiadaan modal terutama untuk membeli mesin dan mendapatkan premis niaga baru.

“Kami merayu semua pihak termasuk kerajaan negeri supaya dapat menyalurkan bantuan bagi membolehkan kami memulakan semula perniagaan, sama ada di tapak asal atau di lokasi berdekatan.