BENDERA parti bertanding pilihan raya kecil DUN Galas dipasang di sepanjang jalan ke Kampung Rahmat dekat Gua Musang.
GUA MUSANG: Seramai 700 petugas peti undi Barisan Nasional (BN) mendapat suntikan moral apabila diberi tiket menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Pengarah Pilihan Raya BN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata ia bertujuan meningkatkan semangat mereka yang sebelum ini kecewa kerana tidak dapat membeli tiket menyaksikan perlawanan itu.
Katanya, petugas yang menaiki 17 bas akan disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, di pekarangan stadium berkenaan.
“Kita tahu bola sepak menjadi tarikan semua golongan dalam masyarakat hari ini dan kita menggalakkan mereka pergi menonton. Melalui sokongan padu mereka, kita harap Kelantan menang," katanya selepas melancarkan Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia di Gelanggang Futsal Kampung Lembaga, semalam.
Sebelum itu, beliau menyerahkan 500 daripada 700 tiket bola tajaan UMNO Gua Musang kepada Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian, Zamzani Harun untuk diagihkan kepada petugas parti.
Kejohahan futsal merebut Piala Tengku Razaleigh anjuran Kementerian Belia dan Sukan bersama Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Gua Musang itu disertai 37 pasukan, termasuk 16 pasukan wanita.
Beliau berkata, bagi peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan perlawanan secara langsung, UMNO dengan kerjasama Jabatan Penerangan memasang skrin besar di beberapa lokasi tumpuan ramai sekitar bandar ini.
Sementara itu, Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata parti itu akan memperlahankan seketika kempen bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia sebagai tanda sokongan bagi memastikan Kelantan membawa pulang piala itu.