ABPBH 2012: Artis baru, lama serikan segmen persembahan
Kelainan demi kelainan cuba dilakukan penganjur Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 dalam menjanjikan yang terbaik buat pembaca setia termasuk peminat anugerah berkenaan menjelang malam kemuncaknya pada 7 April ini.

Perubahan dimaksudkan itu seiring lokasi terbaru ABPBH 2012 iaitu di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan bukan lagi di Arena Of Stars, Genting Highlands. Pengumuman pada sidang media ketiga anugerah ini pada petang Rabu lalu di Vintage, Room, Holiday Villa Hotel & Suites Subang, Subang Jaya, memperlihatkan semangat baru semua pihak yang terbabit untuk melihat suasana baru ABPBH apabila berlangsung di dalam stadium kelak.
Pengerusi Bersama Jawatan Kuasa Induk ABPBH 2012, Shamshul Azree Samshir, berkata perubahan lokasi tahun ini dengan kerjasama Perbadanan Stadium (M) Sdn Bhd membolehkan ruang stadium terkenal itu dimanfaatkan dengan pelbagai agenda. Ia termasuk mewujudkan segmen permaidani merah yang dihoskan Didie Alias dan Along Cham.

Tahun ini, artis yang sudah mengesahkan diri untuk membuat persembahan ialah Ziana Zain, Datuk M Nasir, Datuk AC Mizal, Stacy, Adira, Ainan Tasneem, Black, Ella, Fida Ibrahim, Najwa Latif, One Nation Emcees, RJ, Salam Band, Sleeq, Kilafairy, Marsha, Asmidar, Stella Band, Mastura, Syam Kamarul dan Projek Pistol.

Hos utama Pada majlis prakemuncak petang itu juga turut diumumkan hos utama ABPBH 2012 yang akan dikendalikan Fara Fauzana dan Zizan Razak. Lebih istimewa diwujudkan juga buat kali pertama pengacara bersama seperti dipraktikkan dalam penganjuran Anugerah Academy atau Oscars.

“Tugas pengacara bersama ini lebih kepada mengumumkan sesuatu perkara seperti persembahan dan gandingan penyampai seterusnya. Bererti di atas pentas ABPBH 2012 nanti akan ada satu sudut untuk mereka.

Inisiatif ini bertitik tolak untuk menarik lebih ramai anak seni bersama merasai momen ABPBH.

“Selain itu, peranan hos utama dan penyampai trofi masih seperti biasa. Berbalik kepada gandingan Fara dan Zizan, semuanya atas paksi memberi semula dan menentukan apa yang diingini.
Maksudnya kita mengadakan bancian secara interaktif di Facebook dan rata-rata peminat mahu dikekalkan Zizan sebagai hos.

“Pemilihan Fara pula atas kesepakatan mahu mencari pengacara yang mampu mengimbangi kehadiran Zizan yang tebal dengan lawak jenaka. Gandingan mereka sebenarnya pun sempat kita saksikan ketika mengacara Melodi sebelum ini,” kata Shamsul.

Pengacara Bersama yang diumumkan ialah Awi Rafael, Hanez Suraya, Forteen, Hairul Azreen, Iqram Dinzly, Kamal Adli dan Nelydia Senrose.

Penyampai trofi pula terdiri dari Aaron Aziz, Rozita Che Wan, Dazrin, Fizo Omar, Fizz Fairuz, Johan As’ari, Lisa Surihani dan Nabila Huda.

Tak ketinggalan memeriahkan barisan penyampai trofi ialah Nadiya Nisaa, Nazim Othman, Neelofa, Nur Fathia, Shah Iskandar, Tasha Shilla dan Tomok. Tambah Shamsul lagi, pemilihan nama yang disebut tadi mempunyai signifikan tersendiri terutama dalam aspek populariti, selain berdepan tempias kontroversi.

Sementara itu, malam kemuncak ABPBH 2012 yang memilih tema Ledakan Geometri bakal menyaksikan deretan artis membuat persembahan dengan menampilkan generasi lama dan baru. Semestinya segmen persembahan antara yang ditunggu-tunggu penggemar ABPBH.

Tahun ini, artis yang sudah mengesahkan diri untuk membuat persembahan ialah Ziana Zain, Datuk M Nasir, Datuk AC Mizal, Stacy, Adira, Ainan Tasneem, Black, Ella, Fida Ibrahim, Najwa Latif, One Nation Emcees, RJ, Salam Band, Sleeq, Kilafairy, Marsha, Asmidar, Stella Band, Mastura, Syam Kamarul dan Projek Pistol.

Nostalgia foto

Persembahan retro yang pasti mengundang nostalgia bakal dihangatkan lagi dengan Amir Ukays, Ayai Ilusi, Bagio Damasutra, Jay Jay, Zarul Umbrella dan tak dilupakan persembahan membabitkan juara Bintang Idola BH tahun lalu, Liawanis.

“Nama-nama yang kita senaraikan untuk membuat persembahan ini juga dipertimbangkan daripada peminat menerusi Fan Page Facebook, ABPBH. Selalunya kalau sebut ABPBH, pasti ramai akan mengaitkannya dengan segmen persembahan selain menyatukan pelbagai disiplin dan cabang kreatif seperti pelakon, penyanyi dan fesyen.

“Seperti tahun sebelumnya, kita mahu memberikan persembahan yang terbaik untuk dikenang pembaca dan peminat. Setiap segmen persembahan yang dirancang mempunyai kejutan, keunikan, genre dan ciri-ciri tersendiri. Lebih penting, selain karyawan seni bersatu di sini, kita mahu semua yang datang dapat menikmati keindahan ABPBH,” katanya.

Zizan, Fara serasi berganding

Beralih kepada cerita pengacara utama ABPBH 2012, tahun ini menjadi tahun ketiga Zizan menggalas tanggungjawab di kerusi berkenaan. Dua tahun lalu, Zizan berkolaborasi dengan Sharifah Shahira dan Raja Azura. Tahun lalu ketiga mereka dibantu pula dengan pembabitan Didie Alias.


Di bahu Zizan yang juga calon kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular tergalas tanggung jawab berat dalam memastikan kelancaran anugerah ini. Malah, penyertaan Fara di posisi pengacara ibarat mimpi jadi kenyataan kepada Zizan.

“Fara antara kegemaran saya kerana dia seperti rujukan saya dalam beberapa perkara termasuk dalam aspek pengacaraan dan radio. Saya sudah lama berdoa supaya dapat mengacara dengannya. Alhamdulillah, berita bergandingan dengannya ini satu hadiah besar buat saya.

“Salah satu yang saya puji mengenai kredibiliti Fara ialah dia bijak memberi isyarat untuk saya memperlahankan tempo. Jadi, tak wujud situasi di mana semua pengacara berebut nak bercakap serentak. Itu antara kelebihannya jadi saya tahu di mana perlu berhenti bercakap.

“Pembabitan saya dengan ABPBH ini tidak kira sama ada datang sebagai calon bertanding atau pengacara amat dihargai. Sejak awal lagi saya sudah mengosongkan jadual kerja menjelang kemuncak ABPBH 2012. Sebelum ini pun saya ada diberi bayangan untuk mengacarakan ABPBH 2012. Ingat sekadar bayangan, rupa-rupanya menjadi kenyataan,” kata Zizan yang ketika ini sedang melunaskan filem Abang Long Fadil terbitan Skop Production.

Hampir sempurna

Fara pula melihat peluang seketika dia dan Zizan berpeluang mengacarakan Melodi di TV3 sebelum ini sebagai ruang untuk terus memanjangkan keserasian mereka di ABPBH 2012. Rekod laluan bidang pengacaraan Fara boleh dianggap hampir sempurna selepas buat julung kalinya berpeluang mengacarakan anugerah ini.

Sebelum ini Fara pernah mengacarakan Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Skrin di TV3 selain kini memberikan komitmen untuk program Nona juga di saluran TV yang sama.

“Gandingan Fara dengan Zizan ini ternyata akan dilihat berbeza dengan gandingan hos ABPBH terdahulu. Pasti ada yang cuba mengatakan diri Fara dibayangi pengacara dulu. Tetapi Fara sahut cabaran ini. Cuma pada mulanya apabila tawaran ini diusulkan, Fara ingat ia hanya tawaran main-main seperti Panggilan Hangit di Hot FM.

“Tahun sebelumnya Fara hanya berada di bawah pentas menyaksikan gelagat
teman mengacarakan ABPBH 2012. Tahun ini Fara pula berada di atas pentas. Dulu Fara sering ketawakan gelagat pengacara ABPBH yang selalu menggeletek hati Fara dan ia bukan tugas mudah menyampaikan mesej serta maklumat, selain mencuit hati penonton,” kata Fara yang mengenakan busana berwarna biru rekaan Boutique Dewi Sofea.

Sempena acara prakemuncak ABPBH 2012 itu juga diadakan pertunjukan fesyen seiring dengan tema Ledakan Geometri daripada Boutique Dewi Sofea dan Calvin Thoo. Ia membabitkan artis tempatan seperti Hanez Suraya, Soo Wincci, Nabila Huda, Kamal Adli, Kaka Azraff, Emma Maembong dan ramai lagi selain model tempatan.

Selain barisan penaja ABPBH 2012, acara berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali; Pengerusi Bersama Jawatan Kuasa Induk ABPBH 2012, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan Edisi Mingguan BH, Akmal Abdullah.

INFO: ABPBH2012

- Edisi kali ini yang menyaksikan acara kemuncaknya berlangsung 7 April ini di Stadium Putra Bukit Jalil menawarkan tajaan secara keseluruhan bernilai melebihi RM2 juta.

− Ganjaran lumayan kali ini merangkumi kerjasama dan tajaan daripada Habib Jewels Sdn Bhd, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), stesen radio HotFM, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd, Boutique Dewi Sofea Sdn Bhd dan Holiday Villa Hotel & Suite, Subang.

− Tak ketinggalan penerbangan rasmi yang cukup sinonim dengan tagline penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad dan StarCruise Travel Service Sdn Bhd.

- Pengangkutan rasmi berubah tangan ke Empayan Holding Sdn Bhd serta Perbadanan Stadium (M) Sdn Bhd selaku lokasi malam kemuncak ABPBH 2012.