Kuala Lumpur: Persatuan Anak Peneroka FELDA (ANAK) yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak wajar menghalang usaha melantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata selain berstatus pertubuhan tidak sah, ANAK juga tidak mewakili suara peneroka.
“Mereka ini (ANAK) bukan pertubuhan berdaftar, jadi kenapa nak halang. Tak kisah la apa mereka nak buat.. Walaupun ia anak peneroka, itu tak jadi masalah. Tapi ANAK tak mewakili suara peneroka,” katanya di sini, semalam.


Bulan lalu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengarahkan KPF mengadakan semula perhimpunan agung sebelum 31 Disember 2012.

Bagaimanapun, ANAK mempersoalkan keputusan itu yang didakwa sebagai percubaan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) supaya KPF menjadi pemegang saham utama FELDA Holdings.

Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman mendakwa langkah itu juga bagi memastikan Isa serta Pemangku Ketua Pengarah FELDA, Faizoull Ahmad dilantik menganggotai KPF.

Mengenai tindakan menyaman dua akhbar rasmi pembangkang kerana melaporkan kenyataan fitnah mendakwa FGV menjual minyak sawit kepada Israel, Ahmad berkata, notis saman akan diserahkan kepada Mazlan minggu ini.
“Itu fitnah yang disiarkan di muka depan Harakah dan Suara Keadilan, justeru kena ambil tindakan terhadap Mazlan.

“Sebagai pertubuhan haram yang buat fitnah demi fitnah, manalah mereka dapat cerita khayalan dan dongeng seperti itu,” katanya.

Lidah rasmi PAS dan PKR sebelum ini mendakwa anak syarikat FGV, Felda Iffco Oil Products (FIOP) menjual minyak sawit kepada syarikat Israel, termasuk Bunge Agribusiness Singapore Private Limited.

Suara Keadilan edisi 27 November lalu dan Harakah pada 26-29 November, memetik Presiden ANAK menuduh agensi pembangunan tanah itu berurusniaga dengan Israel, menjual minyak sawit dan mengkhianati Palestin.

Selain itu, beliau juga berharap polis dapat menyiasat dengan terperinci insiden pergaduhan antara penyokong UMNO dan pembangkang pada sesi ceramah di Gombak, minggu lalu.