Pendidikan
ASEAN Cyberkids Camp
Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my
2010/12/13
RAJA ARSHAD (berdiri dua dari kanan) meninjau aktiviti kumpulan sekolah dari negara ASEAN yang menyertai program Asean Cyberkids
di Cyberjaya, baru-baru ini.
91 pelajar dari 11 negara ASEAN berkumpul di Cyberjaya
PROGRAM Asean Cyberkids Camp (ACC) 2010 anjuran Maxis Berhad berjaya mengumpul 91 pelajar dari 11 negara Asean sebagai usaha membentuk diri menjadi pemimpin masa depan.
Program dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK); Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) itu juga mampu melatih pelajar menjadi lebih kreatif di samping berpeluang mengenali kebudayaan negara lain.
Pengerusi Maxis, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda, berkata program tahunan selama enam hari di Cyberview Lodge Resort and Spa Cyberjaya, Selangor itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat telekomunikasi berkenaan bagi mencungkil bakat pelajar.
Beliau berkata, ‘Our Children, Our Future’ amat sesuai membentuk diri mereka sebagai persediaan menjadi pemimpin masa depan.
Katanya, sepanjang seminggu, peserta didedahkan cara membina jaringan hubungan antara mereka, memperkenalkan pelbagai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat di samping berpeluang mengunjungi tempat menarik sekitar ibu negara.
“Selain aktiviti terbabit, kami turut memberikan penekanan terhadap penguasaan kemahiran teknologi di kalangan peserta.
“Mereka diminta mencipta konsep aplikasi telefon pintar (i-Phone) mengikut keperluan dengan bimbingan fasilitator,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran ACC 2010, baru-baru ini.
Kira-kira 8,000 pelajar sekolah rendah membabitkan 1,400 sekolah seluruh negara memperoleh manfaat sejak diperkenalkan pada 2002 dan diperluaskan di peringkat sekolah-sekolah Asean, dua tahun lalu.
Antara negara yang menyertainya ialah Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei, Filipina, Myanmar, Kemboja, Vietnam, Laos dan Sri Lanka.