Jakarta: Negara anggota ASEAN mempertimbangkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang menghadapi penganiayaan di Myanmar, kata blok rantau itu semalam.

Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan, berkata blok berkenaan sepatutnya menjadi sebaha-gian penyelesaian masalah itu yang semakin memuncak Jun lalu dengan pertempuran berdarah yang menyebabkan kira-kira 60,000 penduduk, kebanyakannya minoriti Islam Rohingya kehilangan tempat tinggal.
Saya sudah kemukakan cadangan kepada negara anggota supaya ASEAN sekali lagi menawar-kan bantuan kemanusiaan, seperti yang kami lakukan selepas negara itu dilanda Taufan Nargis empat tahun setengah lalu, katanya kepada wartawan, merujuk kepada ribut yang menyebabkan 138,000 rakyat Myanmar maut atau hilang pada Mei 2008.

Beliau tidak memberikan sebarang maklumat atau menamakan negara untuk mengumpulkan bantuan.

Katanya, tawaran membantu Rohingya mendapat sokongan beberapa negara anggota ASEAN dengan Indonesia serta Malaysia turut menawarkan bantuan secara langsung kepada masyarakat Rohingya.

Angka kematian tinggi

Kira-kira 80 orang, kebanyakannya etnik Rohingya selain penduduk Buddha maut dalam keganasan Jun lalu di negeri Rakhine, menurut perangkaan rasmi, manakala kumpulan hak asasi manusia mendakwa angka kematian lebih tinggi daripada itu.
Myanmar yang akan menjadi pengerusi ASEAN bakal menjadi tumpuan mengenai bagaimana ia mengendalikan isu ini. Perlu ada pelan untuk penyelesaian. ASEAN tidak boleh dilihat berdiri saja tanpa mengambil sebarang tindakan berhubung masalah kemanusiaan sebesar ini, kata Surin.

Bangladesh minggu lalu melarang tiga agensi antarabangsa menyediakan bantuan kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar. Diskriminasi sejak berdekad lalu menyebabkan golongan itu tidak mempunyai negara dan dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara minoriti paling teruk dianiaya di dunia.

Kerajaan Myanmar menganggap 800,000 penduduk Rohingya di negara itu sebagai orang luar dengan ramai penduduk melihat mereka sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh dan bermusuh dengan mereka.
AFP