KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Tan Sri Mohd Yunus Mohd Tasi, mengetuai 260 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 7 Jun lalu.

Mohd Yunus adalah antara empat penerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Balai Rong Seri, Istana Negara di sini, hari ini.
Pada istiadat penganugerahan itu, tiga lagi penerima PSM ialah Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Shah Alam, Selangor, Tan Sri Lim Kim Hong; Ketua Pegawai Eksekutif, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Ipoh, Perak, Tan Sri Lee Oi Hian dan tokoh veteran MCA dari Melaka, Tan Sri Tan Cheng Swee @ Tan Chin Swee.


Empat penerima darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk, adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abd Jabar Che Nai; Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Terengganu, Datuk Mohd Nasir Ibrahim @ Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Sarawak, Datuk Aidan Wing.

Selain itu, Ketua Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr S Jeyaindran dan bekas Pakar Perunding Bedah Kehormat Kementerian Kesihatan, Datuk Emeritus Prof Russell Walker Strong dari Australia menerima PJN (Kehormat).

Tiga penerima darjah Panglima Setia DiRaja (PSD) yang membawa gelaran Datuk, terdiri daripada Setiausaha Bahagian, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wan Hamidah Wan Ibrahim; Pakar Bedah Ortopaedik Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur, Datuk Dr Mohd Asri Abd Ghapar dan Ketua Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang Prince Court Medical Centre, Datuk Dr Tan Si Yen.

Sementara itu, dua penerima Johan Mangku Negara (JMN), 12 orang penerima Johan Setia Mahkota (JSM), dua penerima Johan Setia Diraja (JSD), 47 penerima Kesatria Mangku Negara (KMN), lapan penerima Kesatria Setia Diraja (KSD), 68 penerima Ahli Mangku Negara (AMN), 96 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 13 penerima Bentara Setia Diraja (BSD). - BERNAMA