header

Air mata, kecekalan iringi Linda Tsen sambung aspirasi BN

Linda Tsen Thau Lin
Linda Tsen Thau Lin

AIR mata membawa banyak pengertian bagi Datin Linda Tsen Thau Lin sejak dua minggu lalu.

Jika 9 Oktober lalu beliau menangisi berita kematian suami tersayang, Datuk Edmund Chong Ket Wah, akibat nahas jalan raya, air matanya dilihat mengalir lagi pada tanggal 24 Oktober lalu, sebaik diumum sebagai calon oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi bagi BN, Datuk Seri Musa Aman.

Dalam masa dua minggu, banyak perlu dilalui wanita cekal itu – daripada menerima hakikat nakhoda keluarga tiada lagi di sisi hinggalah kepada memikul amanah menyambung aspirasi BN di Batu Sapi yang diterjemahkan Chong sepanjang enam tahun perkhidmatannya. Ramai mengaitkan pemilihan Linda Tsen, 54, sebagai taktik meraih simpati pengundi untuk berpihak kepada BN, tetapi seperti ditegaskan Musa, persepsi umum dan kriteria diambil kira sebelum calon ditentukan adalah dua perkara berbeza.

“Terpulang kepada sesiapa juga membuat andaian. Kita tahu calon dipilih ini boleh dan sanggup bekerja,” katanya berkias menepis dakwaan.

Jika undi simpati dijadikan modal menyerang perwatakan calon BN, maka calon Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pakatan Rakyat memberi laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding juga sebetulnya tidak lari daripada menagih belas kasihan pengundi dengan memomokkan rahmat pembangunan yang dinikmati rakyat sejak puluhan tahun lalu.

Sekalipun laluan awal Linda Tsen sebagai calon ditentang sekumpulan kecil ahli PBS sendiri yang berkeras mahu calon Bumiputera Islam diketengahkan, kemarahan mereka nyata bersifat sementara dan terpadam sepenuhnya semalam.
Ketua Bahagian PBS Sekong, Boni Yusuf Abdullah, menemui Presiden parti, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Linda Tsen bersama kira-kira 40 penyokongnya bagi memohon maaf secara terbuka terhadap insiden ‘membuat bising’ ketika proses pengumuman calon kelmarin, sekali gus menyaksikan sokongan kembali bertaut seperti sedia kala.

Penyertaan Datuk Yong Teck Lee sebagai calon mewakili SAPP menaikkan momentum perhitungan di Batu Sapi. Sebagai Presiden, penyokong dan ahli parti itu semestinya meletak harapan menjulang terhadap pemimpin tertinggi mereka untuk mengisi kerusi di Dewan Rakyat.

Beliau memang hebat berceramah dan kerap membawa perhatian umum kembali ke masa lampau di samping menjentik rasa dengan membangkitkan pelbagai isu yang dekat di hati rakyat Sabah. Yong kerap mengatakan “saya tidak rugi apa-apa dengan bersuara dan boleh bercakap mengenai apa saja” berikutan bebas daripada kedudukan sebagai wakil rakyat.

Justeru, jika itu pegangannya, pengundi berdaftar layak mempersoalkan apa sebenarnya yang dimahukan Yong dengan memasuki gelanggang Batu Sapi.

Pemilihan Ketua Cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah, 56, sebagai calon PKR dikhabarkan kurang disenangi pihak tertentu dalam parti berkenaan, malah ada yang sejak awal ‘mengangkat bendera putih’ tidak mahu turun membantu jentera parti berkempen atas alasan “jika suara dan pandangan kami sebagai ahli di akar umbi tidak penting, tenaga kami juga tidak penting buat mereka.”

Bermula hari ini hingga 4 November, kematangan dan kebijaksanaan penduduk Batu Sapi membuat pilihan akan diuji. Seramai 25,582 pengundi masing-masing 11,321 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong serta 14,261 bagi DUN Karamunting bakal berdepan pelbagai karakter dan mendengar bermacam-macam janji.

‘Perang’ sudah bermula. Masa terbatas perlu dimanfaat manakala air mata yang dihapus semestinya bertukar menjadi keringat.
AHLI Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin menandatangani buku sumpah Ahli Dewan Rakyat selepas mengangkat sumpah di Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Nov 9, 2010 12:22 pm
AHLI Parlimen Batu Sapi yang baru, Datin Linda Tsen Thau Lin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. Tsen, 54, yang juga Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) menjadi Wakil Rakyat setelah memenangi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Khamis lalu. - Foto BERNAMA
Nov 9, 2010 12:20 pm
CALON Barisan Nasional, Datin Linda Tsen Tsau Lin yang memenangi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dijulang Puteri Umno yang turut hadir ketika pengiraan undi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Edmund Samunting
Nov 5, 2010 12:05 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah (empat dari kiri) bersama-sama penyokong-penyokong BN yang lain mengangkat tangan calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Tsau Lin (dua dari kiri) di atas kejayaan beliau memenangi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Edmund Samunting
Nov 5, 2010 12:03 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah (kiri) beramah mesra dengan calon SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi ketika pengiraan undi di jalankan di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Edmund Samunting
Nov 5, 2010 12:01 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah (dua dari kiri) sempat beramah mesra dengan calon Parti Keadilan Rakyat, Ansari Abdullah bagi pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi ketika pengiraan undi di jalankan di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Edmund Samunting
Nov 4, 2010 11:59 pm
DATIN Linda Tsen Thau Lin dari Barisan Nasional mengangkat tangan ketika di umumkan sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi oleh Pegawai Pengurus, Mohamad Hamsan Awang Supain (dua dari kiri) sambil diperhatikan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR, Ansari Abdullah di Pusat Perjumlahan Undi, Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Rosdan Wahid
Nov 4, 2010 11:57 pm
PETUGAS SPR meletakkan peti undi dan dipamerkan di atas pentas di Pusat Perjumlahan Undi Pilihanraya Kecil Parlimen P.185 Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Rosdan Wahid
Nov 4, 2010 11:55 pm
PETUGAS SPR membewa peti undi untuk dipamerkan di atas pentas di Pusat Perjumlahan Undi Pilihanraya Kecil Parlimen P.185 Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Rosdan Wahid
Nov 4, 2010 11:54 pm
PETI undi dibawa masuk ke Dewan Masyarakat Sandakan bagi proses penjumlahan undi pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi. - Foto Sairien Nafis
Nov 4, 2010 11:52 pm

Keputusan pilihan raya kecil Batu Sapi

Pautan Berkaitan