gambar sebelum  gambar berikut
  • Foto

  • Foto

Album Intifada yang diedarkan pada Disember 2000 meninggalkan impak buat kumpulan Rabbani, sekali gus pengukuh laluan mereka di persada muzik perdana apabila ia semakin membuka mata ramai terhadap irama nasyid kontemporari.

Biar jualan album sulung yang menggunakan nama mereka sendiri mencatat jualan melebihi 100,000, namun album yang menerima suntikan pop apabila turut membawakan hasil nukilan KRU semakin mengukuhkan kedudukan kumpulan ini.
Bukan hanya Intifada, keseluruhan album yang diterbit bersama KRU, Pak Ngah, Azmeer dan Bong turut menyajikan kelainan hingga mampu meraih jualan melebihi 50,000 unit dalam tempoh enam bulan, walaupun ketika itu pasaran album sudah agak merudum.


Namun di sisi lain, mereka dituduh menghasilkan album rojak, sekali gus merosakkan imej lagu nasyid sedia ada menerusi keberanian membuat pembaharuan dan dikatakan sekadar mengejar komersil.

Mengimbas memori lalu, anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz yang mewakili rakan-rakan lain berkata, dek kontroversi Intifada, syarikat rakaman mereka, EMI Malaysia terpaksa mengadakan sidang media khas dinamakan Dunia Muzik Rabbani bagi memperjelas situasi sebenar.

Sidang media panas

“Memang jualan Intifada bagus, malah saya bertemu seorang pelajar universiti yang mengakui membeli semua koleksi album kami terdahulu selepas mendengar lagu Intifada ketika melintasi sebuah kedai muzik.

“Waktu sidang media dijalankan, ramai media hadir dan kami cuba merungkai segala persoalan dengan sebaik mungkin. Intifada sendiri bermaksud kebangkitan, dan ia diterjemahkan sebagai kebangkitan kumpulan ini yang berjaya memartabatkan irama nasyid dengan mempelbagaikan rentak.

“Banyak pro dan kontranya, bahkan sidang media itu sendiri agak ‘panas’. Segelintir menganggap KRU tidak layak menggubah lagu nasyid,” katanya sambil memberitahu, mereka turut dikritik apabila menyanyikan kembali lagu Insan, dendangan asal Yantzen, yang dimuatkan dalam album Rabbani 1418-1428H.

Biarpun kenangan itu sudah hampir 12 tahun berlalu, segala-galanya masih segar di ingatan, apatah lagi mereka memperuntukkan sepanjang Ramadan tahun berkenaan menyiapkan album dan kebiasaannya bersahur beramai-ramai di studio.

Lebar sayap ke Indonesia

Hasilnya tidak mengecewakan apabila keberanian mereka membawa impak apabila selepas itu nama Rabbani terus berada pada posisi selesa hingga melebarkan sayap ke luar negara, termasuk Indonesia.

“Kami bukan mahu mengejar nama, tetapi aliran baru ini hanya percubaan membuka pemikiran masyarakat bahawa irama nasyid boleh bersaing dengan muzik lain. Kami tidak mahu penerimaannya terhad kepada satu golongan saja.

“Ketika masih bersama Nada Murni dulu, kami turut membawakan dendangan yang lari daripada nasyid biasa. Cuma, apabila pengaruh pop lebih digembar-gemburkan, orang ramai agak kabur dengan pengisian sebenar,” katanya lagi mengenai album yang meraih banyak trofi.