All Your Love Siti bakal jengah Eropah
HAMPIR dua dekad bergelumang di arena seni suara, akhirnya hasrat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa hampir menjadi kenyataan apabila album Inggeris pertamanya, All Your Love bakal berada di pasaran mulai 9 September ini.

Selain Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, album yang mendapat sentuhan komposer dari Australia itu bakal menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Album sulung Inggeris Siti akan diedarkan oleh Warner Music.
Lebih menarik, anak tiri Siti, Adib Khalid, 21, bertindak sebagai Penerbit Eksekutif album berkenaan. Dalam masa sama, Adib masih meneruskan pengajian Ijazah Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran dari The Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), kini berada di tahun akhir.

Dalam pertemuan bersama Adib di kediamannya baru-baru ini, dia memberitahu, Siti bakal berkolaborasi dengan penyanyi hip hop dan R&B antarabangsa, Shawn Kingston menerusi lagu Remember You. Selain itu, Siti juga berduet dengan Christian Alexander yang turut digelar King of R&B di Australia menerusi lagu I Wait Forever. Kesemua 10 lagu Inggeris dalam album terbaru Siti juga ditulis oleh Christian.

Siti juga bertuah kerana mendapat bimbingan daripada dua karyawan bernama besar di Australia, selain Christian, Brian B bertindak sebagai produser album Inggeris itu. Single pertama yang menjadi pertaruhan Siti berjudul Falling In Love. Single berkenaan sudah dua kali diperdengarkan di depan khalayak ketika Konsert SimpliSity di Shah Alam pada 9 Julai lalu dan Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura, baru-baru ini.

Tambah Adib, hasrat melahirkan album Inggeris berkenaan semuanya berlaku secara kebetulan apabila Siti dan bapanya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K melawat ke studionya ketika sesi rakaman. Adib mempunyai syarikat rakamannya sendiri, What’s Up Entertainment apabila artis yang bernaung di bawahnya termasuklah Christian sendiri, Caprice dan Nik Irfan Nik Ezani.

“Mak Iti (Siti) suka dengan kerja dan lagu-lagu yang ditulis oleh Christian apabila dia masuk ke studio kami. Tidak lama kemudian, Mak Iti melahirkan hasratnya supaya Christian menulis beberapa lagu untuknya. Bersama bantuan Brian B, dalam masa kurang dua bulan, Christian berjaya menyiapkan 10 lagu yang dimuatkan dalam album Inggeris Mak Iti.
“Semua proses rakaman dibuat di sini (Kuala Lumpur) dalam tempoh kira-kira dua minggu saja kerana Mak Iti memberikan komitmen yang sangat baik. Manakala proses adunan dan mastering dibuat di beberapa studio di New York dan Los Angeles.

“Ketika rakaman, Christian dan Brian memantau sebutan bahasa Inggeris Mak Iti dengan betul. Bagi saya, bunyi nyanyian Mak Itu tidak semestinya sama dengan penyanyi Inggeris yang lain. Saya lebih suka Mak Iti kekalkan keaslian sebutan Inggeris dengan lidah Melayu. Saya tidak mahu Mak Iti dipengaruhi slanga Amerika atau British.

“Paling penting, identiti Voice of Asia itu dikekalkan. Sebagai Produser Eksekutif , saya mahu apabila Mak Iti menyanyi lagu Inggeris, peminatnya akan tahu, itu lenggok dan identiti asli daripada Mak Iti. Sekalipun bekerja dengan keluarga sendiri, profesionalisme Mak Iti berada pada tahap maksimum.

“Kami senang bekerja dengannya. Mak Iti tahu arah terbaik yang kami mahu daripadanya. Dia tak banyak merungut, hanya masuk studio, terus buat rakaman, justeru, album berkenaan dapat disiapkan dengan cepat,” kata Adib mengenai ibu tiri jelita itu.

Siti yang turut menjayakan fotografi bersama Adib, Christian dan Brian pada petang itu, mengakui tone suaranya tidak boleh ditukar apabila lenggok nyanyian lagu Inggeris beliau masih menjurus kepada keaslian vokalnya.

“Stail saja yang berbeza apabila Siti menyanyikan lagu Inggeris. Siti cabar diri sendiri untuk memperbaiki kelemahan, Alhamdulillah sebutan bahasa Inggeris Siti semakin baik. Dengan lahirnya album All Your Love ini, cita-cita Siti untuk menembusi pasaran antarabangsa, mudah-mudahan akan tercapai, Insya-Allah,” katanya lagi.