Azman, Jackson dan Pengerusi Travelex Malaysia Tan Seri AP Arumugam pada majlis pelancaran  perkhidmatan tukaran wang  asing  AmBank-Trevelex di Kuala Lumpur, semalam. -  Foto Nurul Syazana Rose Razman/BH Azman, Jackson dan Pengerusi Travelex Malaysia Tan Seri AP Arumugam pada majlis pelancaran perkhidmatan tukaran wang asing AmBank-Trevelex di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman/BH
Kerjasama strategik tawar khidmat tukaran wang asing

AmBank menjalin kerjasama strategik dengan Travelex, pakar pertukaran asing terbesar dunia, sekali gus membolehkan menawarkan perkhidmatan tukaran wang asing dalam 82 mata wang dunia di cawangan terpilih bank berkenaan.
Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Azman Hashim, berkata kini perkhidmatan itu sudah beroperasi sepenuhnya di lapan cawangan AmBank di Lembah Klang. Cawangan itu adalah di Bangsar Baru, Jalan Raja Chulan, Berjaya Times Square, KL Sentral, PJ SS2, Taylor’s University Lakeside Campus, Jalan Yap Kwan Seng dan Taman Tun Dr Ismail.

“Kami akan mengembangkan secara berperingkat perkhidmatan tukaran wang asing AmBank-Travelex ini ke 60 lagi cawangan AmBank terpilih, termasuk di Sabah dan Sarawak, tahun ini.

“Kerjasama strategik ini membolehkan AmBank memanfaatkan kekuatan jenama Travelex serta kepakarannya dalam menguruskan perniagaan, operasi dan proses perniagaan tukaran wang asing, termasuk sistem berkaitan peruncitan tukaran wang asing,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan tukaran wang asing AmBank-Travelex di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Penolong Ketua Pengarah Pemasaran Kementerian Pelancongan, Chong Yole Har; Ketua Eksekutif Travelex Global, Peter Jackson; dan Penolong Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Datuk Mohamed Azmi Mahmood.