Amah  tak mengaku salah Enong dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Kes dera bayi: Tertuduh goncang anak majikan mohon dibicarakan

Kota BharuL: Pembantu rumah warga Indonesia mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendera anak majikannya berusia 15 bulan, Sabtu lalu, di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Tertuduh, Enong Nur Sukma, 41, berasal dari Bandung, Indonesia mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Yusoff Yunus.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, membawa hukuman denda RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Enong didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak majikannya, Kaseh Nur Alyaa Mohd Syazwan, dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Kasar layan bayi

Dia didakwa menggoncang badan dan kepala serta melayan bayi perempuan itu dengan cara kekasaran di rumah majikannya di Lorong Haji Pak Noh, di sini, pada jam 10 malam, 23 Februari lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, membawa hukuman denda RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Riffin, manakala tertuduh diwakili peguam bela Pusat Bantuan Guaman (LAC), Roshalizawati Mohamad.

Terdahulu, Roshalizawati memohon mahkamah membebaskan tertuduh dengan jaminan dan memberi alasan pihak kedutaan sanggup memberi jaminan supaya tertuduh menghadiri perbicaraan kes terbabit.

Bagaimanapun, ia dibantah Intan Nor Hilwani dengan menjelaskan kes itu membabitkan kepentingan awam dan pihaknya tidak boleh menawarkan sebarang jaminan.

Selepas mempertimbangkan kedua-dua hujah itu, Yusof kemudian menolak permohonan tertuduh untuk diikat jamin dan menetapkan 1 April depan sebagai tarikh sebutan kes.