Georgetown: Peniaga dinasihat mengamalkan budaya meletakkan tanda harga barang bagi setiap makanan dan minuman supaya pembeli dapat membuat perbandingan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe, berkata tiada aduan dilaporkan setakat ini bagi kes peniaga tidak meletakkan tanda harga.
“Kebanyakan lawatan yang dibuat sekitar bazar dan pasar awam didapati peniaga mematuhi syarat meletakkan tanda harga dan ia satu budaya yang wajib diamalkan. “Kami juga tidak menerima laporan berhubung kes penipuan terhadap pengguna kerana peniaga tidak meletakkan tanda harga,” katanya ketika melawat bazar Ramadan di Jalan Utama, petang semalam.



Lian Hoe berkata, bagi mengekang situasi bekalan menyambut Aidilfitri berkurangan, Skim Kawalan Harga berkuat kuasa mulai semalam supaya tidak ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya.