Nasional
Anak rintih bapa pulang
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/06/30
Pelajar kita ditahan pihak berkuasa Mesir masih tiada khabar berita
KUALA LUMPUR: ‘Ummi, bila baba mahu pulang ke rumah dan tinggal bersama kita... kenapa baba kena tahan polis sedangkan baba baik,” begitulah luahan Muhd Al-Fateh, 4, anak sulung kepada pelajar Malaysia, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria, 41, yang ditahan pihak berkuasa Mesir sejak 16 hari lalu.
Isteri mangsa yang mahu dikenali sebagai Hidayah, 33, berkata hampir setiap hari anak-anaknya akan bertanyakan soalan yang sama terutama menjelang malam dan sewaktu bangun tidur.
Beliau berkata, anak sulungnya Muhd Al-Fateh tahu ayahnya ditahan, manakala adiknya, Mohd Nurudden berusia dua tahun masih tidak mengerti apa yang berlaku, namun tetap bertanyakan ke mana pergi ayahnya.
“Setiap kali diajukan soalan itu, hati saya sebak dan tidak mampu untuk memberi sebarang janji kepada mereka, namun saya hanya menjawab kita tunggu dan lihat saja.
“Tapi, sampai bila keadaan ini akan berterusan dan bila penantian kami sekeluarga akan berakhir,” katanya dengan nada sebak ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Muhamad Zulkifli yang baru menamatkan peperiksaan peringkat sarjana ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mesir pada 13 Jun lalu, ketika melalui pemeriksaan imigresen untuk menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.
Hidayah berkata, kehidupan mereka sekeluarga dalam keadaan menderita menunggu kepulangan suami dan sehingga kini tiada khabar berita diterima berhubung keadaan Muhamad Zulkifli.
“Sejak berjumpa Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dua minggu lalu dan sehingga kini saya tidak dimaklumkan sebarang maklumat berhubung perkembangan terbaru suami saya sama ada boleh dibawa pulang atau sebaliknya,” katanya.
“Saya sudah buntu memikirkan keadaan suami yang dikatakan berada dalam penjara bawah tanah di Mesir, banyak perkara bermain dalam fikiran sama ada dia dalam keadaan sihat atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan polis Mesir menahan suaminya dengan alasan untuk disoal siasat jelas tidak munasabah kerana proses yang diambil terlalu lama seolah-olah Muhamad Zulkifli sudah dihukum.
“Kalau guna alasan untuk soal siasat, saya boleh terima namun tidak masuk akal proses siasatan itu mengambil masa lebih dua minggu dan sehingga kini tiada tanda-tanda ia akan dilepaskan,” katanya.