ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Korporal hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya bulan lalu.

Rosli Abu Hasan, 25, dituduh membunuh Konstabel Mohd Sobri Mohd Sidek, 22, di pintu masuk utama Istana Anak Bukit di sini kira-kira jam 5.45 petang pada 26 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Tertuduh mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah. Tiada sebarang pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

Peguam P Ashokumar yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dibenarkan untuk dijamin bagi membolehkannya menjalani rawatan mental.

"Tertuduh adalah anggota polis yang sudah berkahwin dan tinggal dengan keluarga, serta tidak boleh lari atau mengancam saksi. Tertuduh juga bersetuju menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis," katanya.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya Ayu Rohaiza Khazali kerana kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada asasnya tidak boleh dijamin dan jika mahu membuat permohonan, ia perlu dilakukan di peringkat mahkamah lebih tinggi dan bukan di mahkamah rendah.
Ayu Rohaiza bersetuju supaya tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Mohd Azhar membenarkan permohonan untuk tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatrik tetapi tidak membenarkannya dijamin.

Beliau kemudian menetapkan 10 Jun untuk sebutan kes. - BERNAMA