cium mulut"/>
login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Isnin , 14 Julai 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BiPop
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Apa Ceritanya: Nabil tersentak gambar cium mulut
Oleh Zubir Mohd Yunus

2010/11/14

pix_gal0
Dakwa diri mangsa kecanggihan teknologi

KONTROVERSI demi kontroversi terus menghantui kehidupan peribadi juara Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 27, apabila dirinya terus ‘ditelanjangi’ dengan satu persatu kisah panas sehingga mampu menggugat populariti beliau selepas dirinya dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Bermula dengan tragedi putus cinta dengan pengacara dan aktres popular, Irma Hasmie, 28, diikuti kemunculan gadis belasan tahun dikenali sebagai Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen atau Qasha yang dikatakan sebagai kekasih baru Nabil, pelawak dan pengacara popular itu terus menerima tekanan apabila Qasha dituduh pula sebagai orang ketiga, namun Nabil sudah pun menafikan perkara itu, minggu lalu.
Qasha, 18, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 13, Subang Jaya, Selangor, adalah kakak kepada aktres remaja, Nik Zaris Nelydia Senrose, 16, yang pernah membintangi beberapa drama siri popular antaranya Spa Q, Spa Q 2, Spa Qistina, Datin Wannabe dan terbaru, Ahmad Durrah yang kini masih disiarkan di TV3 setiap Jumaat, jam 9 malam menerusi slot Zehra.
Sebelum ini juga, Nabil dan Qasha yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, dikatakan bercuti di Phuket, Thailand pada 27 Oktober lalu. Pun begitu, Nabil menafikan dia bercuti bersama Qasha di Phuket, sebaliknya mengakui mereka bertemu di sana selepas terbabit dengan acara masing-masing.

Jika Gunung Merapi di Pulau Jawa memuntahkan lahar panasnya beberapa minggu lalu, awal minggu ini pula penulis berdepan ‘bahang gunung berapi’ apabila menerima kiriman cakera padat (CD) yang mengandungi salinan tiga keping foto aksi panas membabitkan dua individu dikatakan persis Nabil dan Qasha! Difahamkan, antara ‘adegan’ panas berkenaan ialah aksi cium mulut kononnya antara mereka.

Menerusi risikan, penulis difahamkan, tiga keping foto berkenaan mungkin ‘dicuri’ dari komputer riba milik Nabil oleh individu yang tidak bertanggung jawab dengan niat menjatuhkan nama baiknya, sekali gus menjahanamkan karier seni beliau yang kini berada di kemuncak. Foto berkenaan juga difahamkan belum pernah tersiar di mana-mana blog atau laman web hiburan sebelum ini.

Bagi mendapatkan penjelasan mengenai kesahihan foto aksi panas berkenaan, penulis menemui Nabil petang Selasa lalu di lokasi penggambaran filem terbarunya, Bujang Terlajak arahan Profesor Madya Razak Mohaideen di Glenmarie, Shah Alam, Selangor. Apabila Nabil ditunjukkan foto berkenaan, dia kelihatan tersentak. Sejurus kemudian, beliau terus menafikan dua individu persis wajahnya dan Qasha itu adalah diri mereka.
“Selepas melihat sendiri foto yang dipertontonkan tadi, saya sangat sedih, kecewa dan terkejut. Saya tak faham, bagaimana foto seumpama ini boleh tersebar begitu cepat di kalangan media massa. Pun begitu, saya menafikan sekeras-kerasnya foto aksi panas yang dikatakan antara saya dan Qasha adalah milik kami berdua.

“Muka kedua-dua individu berkenaan memang sama dengan wajah kami, namun saya tidak mampu menafikan teknologi hari ini terlalu hebat apabila teknik superimpose boleh digunakan untuk tujuan mengaibkan diri seseorang itu. Bagi saya, mungkin ada pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan ekoran kisah peribadi saya yang kurang enak dipaparkan media masa sejak dua minggu berturut-turut.

“Barangkali apa yang dilakukan pihak berkenaan bertujuan menyedarkan saya mahupun artis lain supaya lebih berhati-hati dalam menjalin perhubungan. Mungkin juga saya dijadikan ‘tikus makmal’ oleh pihak berkenaan menjalankan uji kaji supaya orang lain mendapat iktibar. Bagi saya, apabila gambar seumpama ini tersebar, orang akan menilai dan lazimnya mereka mendakwa ia betul walaupun kita membuat penafian.

“Pun begitu, apa yang boleh saya nyatakan, penghasilan foto aksi panas itu dibuat menerusi teknik superimpose yang begitu teliti pembikinannya. Apabila diamati ketiga-tiga foto berkenaan, memang sukar kita menemui kelemahannya. Justeru, saya kagum dengan hasil kerja pihak berkenaan,” kata Nabil mempertahankan dirinya dan Qasha daripada terus menjadi mangsa keadaan.

Apabila diajukan soalan, adakah dia berasakan dirinya teraniaya apabila ada pihak yang iri hati dengan populariti beliau, Nabil menjelaskan, “Bagi saya, rezeki ditentukan Tuhan. Namun, mungkin orang beranggapan saya playboy, sebaliknya saya hanya manusia biasa yang kadang kala membuat kesilapan. Kepada mana-mana pihak yang pernah terguris hati dan perasaan dengan kata-kata mahupun perbuatan saya, saya mohon maaf.

“Tolonglah terima saya sebagai manusia yang tidak sempurna. Kisah saya dan Irma (Hasmie) putus cinta adalah masalah peribadi kami, janganlah ditokok tambah dengan isu foto lucah saya dan Qasha pula. Keadaan ini benar-benar membuatkan saya tertekan. Namun, kehidupan perlu diteruskan. Apa saja pandangan masyarakat terhadap diri ini, saya terima dengan hati terbuka.

“Sekiranya saya tidak diduga dengan ujian sebesar ini, mungkin saya akan terus lalai. Manusia apabila berada di atas, ada nama, ada banyak wang, mereka alpa. Saya akui perkara itu. Barangkali dugaan yang berlaku ke atas diri saya adalah titik permulaan supaya saya kembali ke pangkal jalan. Mungkin sudah tiba masanya saya memulihkan diri dan memperbanyakkan amal ibadat. Saya sayang kerjaya ini,” kata Nabil berterus-terang.

Nabil juga menegaskan dia tidak mengesyaki mana-mana pihak yang mungkin menyimpan perasaan dendam terhadap dirinya sehingga tergamak menyebarkan foto superimpose beliau bersama Qasha dalam aksi mengghairahkan itu.

Mengulas perhubungannya dengan Qasha, Nabil menjelaskan, “Sebaik saja kisah kontroversi saya, Irma dan Qasha didedahkan media massa, saya lebih senang dengan situasi silent treatment dengan diri beliau (Qasha). Kami dah lama tak bertemu, bercakap di telefon pun hanya untuk bertanya khabar. Apa yang boleh saya nyatakan, saya dan Qasha hanya berkawan, kami tidak pernah berbicara soal cinta, hati dan perasaan dengan serius.”

'Mereka mahu bunuh kerjaya Raja Lawak'

SEMENTARA itu, Qasha yang pernah membintangi sebuah drama, Lukisan Hati dan menjayakan komersial TV antaranya Ajinomoto, DiGi dan Petronas, sedia memberikan kerjasamanya apabila dia sempat hadir ke Balai Berita, petang Rabu lalu untuk melihat sendiri kesahihan tiga keping foto aksi panas yang dikatakan mirip dirinya bersama Nabil dalam salah satu ‘adegan’ sedang bercium mulut.

“Apabila saya diberi peluang melihat ketiga-tiga keping foto aksi panas itu, saya menafikan sekeras-kerasnya ia milik saya dan Nabil. Pun begitu, saya tidak menafikan kedua-dua individu terbabit mempunyai wajah seiras kami, namun saya yakin ia dihasilkan dengan menggunakan kepakaran teknik superimpose berteknologi tinggi sehingga saya sendiri gagal menemui sebarang kecacatan pada foto berkenaan.

“Bagi saya, perbuatan berunsur khianat itu dilakukan pihak yang berniat jahat menjatuhkan karier Nabil berdasarkan popularitinya berbanding saya yang baru hendak mengenali dunia seni. Nabil ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia baru saja putus cinta dengan Irma, kini berdepan pula dengan isu foto lucah.

“Seperkara lagi, selepas diamati, saya yakin foto aksi panas berkenaan belum pernah disiarkan di mana-mana blog atau lama web hiburan sebelum ini. Tiga keping foto itu kali pertama saya lihat, justeru saya berasa sangat sedih dan malu apabila ada pihak yang tergamak menyebarkan foto superimpose kami berdua.

“Namun, terpulanglah kepada masyarakat untuk membuat pelbagai andaian selepas ini sama ada mereka hendak mempercayainya atau tidak. Mereka berhak untuk bercakap apa saja. Seandainya masyarakat terus-terusan mendakwa foto cium mulut itu dilakukan saya bersama Nabil, saya tidak mampu menutup mulut mereka,” kata Qasha dalam nada sangat kecewa.

Sebagai pendatang baru dunia hiburan, Qasha mengakui kesal atas segala kesilapan yang mungkin dilakukannya selama ini, sekali gus memohon maaf agar diberi peluang memperbaiki kelemahan diri. Dia juga berharap agar dirinya tidak terus dipersalahkan sebagai pihak ketiga yang menjadi punca putus cinta Nabil bersama Irma.

“Saya masih terlalu mentah, banyak perkara yang perlu saya pelajari untuk mematangkan diri. Saya juga memohon agar peminat Nabil tidak berterusan menyalahkan saya sebagai punca perpisahan antara Nabil dan Irma. Saya mengenali Nabil selepas dia membuat pengakuan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan istimewa dengan bekas kekasihnya itu, itupun selepas kami dipertemukan oleh beberapa teman,” kata Qasha.

Menerusi beberapa laman web hiburan sudah tersebar foto mesra Nabil bersama beberapa anggota keluarga Qasha, selain dikatakan berpimpin tangan ketika ditemui di Phuket baru-baru. Justeru, adakah situasi itu boleh dijadikan bukti cinta Qasha bersama Nabil?

“Kemesraan saya bersama Nabil belum cukup dijadikan bukti kami bercinta. Dalam usia semuda ini, saya tidak mahu terjebak dengan cinta, antara saya dan Nabil kami hanya selesa sebagai kawan. Saya juga tidak pernah bermimpi untuk menjadi pengganti Irma. Sebenarnya antara saya dan Nabil, kami masih dalam proses mengenali diri masing-masing. Buat masa ini, biarlah saya berjaya dalam pelajaran dan karier saja,” katanya lagi.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas