Apabila otai rock bertemu
Jiwa kental mereka tak pernah mati, perjuangan mereka tak pernah terhenti.

Mereka meninggalkan legasi seni yang cukup ampuh menerusi kehebatan vokal, lagu, gaya dan imej hingga terus disukai sehingga kini termasuk generasi baru yang boleh menerima baik dendangan mereka.
Biarpun sering timbul dan tenggelam, hakikatnya, peminat setia tidak pernah hilang, malah generasi baru turut terbuai dengan rangkaian lagu hit mereka yang sentiasa berkumandang sejak berdekad lalu.


Pada kegemilangan rock pada era 80-an dan 90-an, mereka dianggap hebat! Zaman muzik rock mungkin sudah berlalu, namun ia tidak pernah mati. Dari stesen radio hingga ke pusat karaoke masih lagi berkumandang lagu rock yang menjadi siulan peminat.

Selepas sekian lama, mereka dipertemukan dalam sebuah majlis secara tertutup pada minggu lalu di sebuah hotel terkemuka. Lebih 20 otai rock dipertemukan selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.

Masih aktif

Ada antara mereka masih lagi aktif menyanyi, ada pula yang sudah lama mengucapkan selamat tinggal dan menganggap dunia nyanyian sekadar hobi, bukan lagi kerja sebagai cari makan.
Nama seperti Ayai (Ilusi), Jatt (Black Dog Bone), Zamani (Slam), Nizam (Laksamana), Isa (Gravity), Nai (Dinamik), Rahmat (Mega), Ali (Tera Rossa), Amir (Ukays), Ezad (Exist), Saleem (Iklim), Nash (Lefhanded), Bagio (Damasutra), Fredo, Ibnor Riza dan Dwen cukup memberi impak pada era kegemilangan rock.

Lagu-lagu dendangan mereka tidak pernah pudar biarpun ditelan waktu.

Turut memeriahkan sambutan hari jadi pada malam itu ialah penyanyi Indonesia yang popular menerusi lagu Kehilangan, Firman. Beliau juga dikenali menerusi lagu Jangan Pikiran Abang dan Hatimu Batu.

Seakan menggamit nostalgia lama apabila semua otai rock pada malam berkenaan mendendangkan lagu popular mereka. Walaupun sudah berusia, tetapi suara dan persembahan mereka masih berbisa!

Dwen tutup cerita lama

Ingat lagi penyanyi yang berasal dari Brunei, Dwen? Masih ingat lagu berhantunya, Suatu Waktu Dahulu? Dulu, bekas artis EMI Malaysia ini pernah mencetuskan kontroversi apabila menyertai kumpulan al-Arqam. Tapi, itu cerita lama.

Dwen akui, dia tidak lagi menyanyi sejak meninggalkan dunia hiburan pada 1989.

Bagaimanapun, dia yang pernah bertugas sebagai pengacara Malaysia Hari Ini di TV3 pada 1995 selama dua tahun, menjelaskan, hatinya terbuka semula untuk menyanyi semula pada tahun ini selepas bertemu seorang kenalan bergelar Datuk dari Sabah. Beliau sudah lama mencari saya kerana meminati lagu yang pernah saya dendangkan.

“Akhirnya saya mengalah dan menerima pelawaan beliau untuk menyanyi semula tapi hanya untuk majlis tertutup yang dianjurkan beliau. Kalau tidak kerana beliau, saya sudah meletakkan titik noktah dalam bidang nyanyian.

“Saya sebenarnya malu nak menyanyi balik, maklumlah sudah 24 tahun meninggalkan dunia nyanyian. Lagipun saya sudah berusia 54 tahun sekarang. Saya tidak terfikir untuk kembali kepada dunia nyanyian, menyanyi sekadar suka-suka dan seronok dapat bertemu rakan lama pada majlis begini cukuplah.

“Kini, saya menjadi tenaga pengajar taekwando di pusat taekwando milik saya sendiri di USJ, Subang. Inilah dunia saya sekarang untuk meneruskan kehidupan. Kerjaya nyanyian sudah jauh ditinggalkan.

“Saya bukannya mengelak mahu bertemu wartawan kerana saya bukan lagi aktif menyanyi, saya bukan lagi artis,” katanya sambil ketawa.

Peti suara Ayai koyak

Penyanyi lagu Puisi Cinta, Ayai pula berkata, dia masih lagi aktif memenuhi undangan nyanyian selepas pulih daripada sakit pada 2003.

“Sebenarnya pada 1997, saya berdepan peti suara saya koyak. Saya masih ingat ketika kali terakhir menyanyi di Crossroad, Hotel Concorde Kuala Lumpur, saya tidak mampu bercakap lagi. “Selama enam tahun saya berhenti menyanyi kerana mahu memulihkan suara.

Peti suara saya koyak teruk sehingga mengambil masa lama untuk dipulihkan. Pada 2004, saya menyanyi semula tetapi tidak terlalu aktif kerana masih menerima rawatan.

“Walaupun kini sudah pulih sepenuhnya, saya masih mendapatkan rawatan berterusan.

Kesan rawatan ini, badan saya jadi berisi kerana saya mengambil steroid. Saya jadi kuat makan, tapi Alhamdullilah itu saja kesannya.

Berniaga kecil-kecilan

“Untuk menyara keluarga, saya berniaga kecil-kecilan dengan mendapat lesen kontraktor kelas F. Sehingga kini, Kumpulan Ilusi masih wujud dan kami tidak berpecah.

Cuma, selepas saya mendapat sakit, tiga anggota Kumpulan Ilusi menumpukan perhatian pada pekerjaan mereka sebagai kakitangan kerajaan,” katanya yang muncul dengan lagu single berjudul Berbalas Balas ciptaan Fauzi Marzuki, tahun lalu.