MACAM kenduri besar setiap kali Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi, Jabatan Pengarang New Straits Times Press (NSTP) menganjurkan Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media yang sudah memasuki musim kesembilan.
WALAUPUN MEMASAK 20 PERIUK BESAR, KERJA YANG SUKAR JADI SENANG MALAH SAYA BANGGA APABILA DI KOTA BESAR MACAM KUALA LUMPUR INI MASIH KUKUH AMALAN GOTONG-ROYONG”
Mereka ialah Aweera dari kumpulan Mojo, Mira (Tilu), Iqa Mentor serta Baby Shima yang juga Bintang Idola Berita Harian (BIBH) Selain Pasar Raya Giant, Petronas, Adabi, penuntut Universiti Taylors dan Rukun Tetangga Perumahan Kondo Rakyat Desa Pantai.
Bagi keempat-empat bintang muda ini, peluang bersama masyarakat setempat, pengamal media serta golongan pelajar dari pelbagai negara sangat menyeronokkan apatah lagi berpeluang berkongsi resipi juadah istimewa ini.
Biarpun berpeluh juga dibuatnya, mereka tetap seronok kerana suasana meriah dan semangat gotong-royong memberikan satu pengalaman menarik untuk acara memasak bubur lambuk.
Aweera, vokalis yang semakin menyerlah menerusi lagu Andai Ku Bercinta Lagi ini mengakui terkenang kemeriahan kenduri di kampungnya di Kangar, Perlis apabila melihat golongan berusia serta orang muda menyediakan bahan dan memasak bersama.
“Walaupun memasak 20 periuk besar, kerja yang sukar jadi senang malah saya sendiri bangga apabila di kota besar macam Kuala Lumpur ini masih kukuh amalan gotong royong. Kalau tengok hari ini, saya dapat lihat semangat kerjasama dan lebih menakjubkan apabila saya sendiri yang selama ini hanya tahu menikmati kelazatan bubur lambuk mula mengetahui rahsia pembuatannya daripada pak cik dan mak cik di sini,” katanya yang bernaung di bawah KRU Music itu.
Seperti teman sealiran, Mira yang bakal muncul dengan single solo menerusi projek khas di bawah kendalian Edry Abdul Halim juga memaklumkan undangan untuk bersama menjayakan program berkenaan buat julung kali meninggalkan memori manis baginya.
“Kalau sekali pandang memang nampak susah tetapi sebenarnya memasak tidak sesukar mana asalkan kita berkeinginan apatah lagi juadah yang cukup sinonim untuk perayaan tertentu, contohnya bubur lambuk. Selain berpeluang berkongsi resipi dengan chef dari Adabi dan Universiti Taylors, saya yang suka memasak ini sempat berbual dengan penuntut dari pelbagai negara mengenai hidangan wajib musim perayaan mereka,” katanya yang berniaga Ayam Keju di bazar Ramadan Kampung Baru Kuala Lumpur.
Iqa atau nama sebenar Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor, 25, yang sebelum ini pernah turun padang bagi menjayakan acara sama turut melihat gotong royong bukan hanya sebagai tanggungjawab sosial, malah mengeratkan muhibah dan silaturrahim.
“Saya berbesar hati apabila diundang semula tetapi kali ini saya sudah bersedia memasak dengan mengenakan persalinan bersesuaian kerana aktiviti mengacau bubur hingga masak memerlukan kudrat. Tetapi melihat operasi penyediaan bubur yang dilakukan secara pembahagian kerja membolehkan ia dapat diedarkan seawal jam 12 tengah hari. Memang pantas,” kata anak jati Klang, Selangor yang bakal tampil bersama band perempuan.
Bagi Baby Shima, keenakan bubur lambuk yang selama ini menjadi kegemarannya dapat dipelajari sekali gus membolehkannya mencuba resipi berkenaan di rumah.
“Bukan mudah menyediakan bubur lambuk kerana menyediakan ramuannya saja sudah membuatkan peluh menitik, belum lagi tiba giliran mengacau bubur dalam periuk besar dalam keadaan cuaca panas,” katanya.
Lebih bermakna, pelancaran acara memasak yang bermula seawal jam 8 pagi itu turut disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sebelum diagihkan kepada anak yatim, ibu tunggal, warga emas, surau, masjid selain pasukan keselamatan seperti polis, bomba dan kakitangan media. Turut serta, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid.



