Artis eksklusif Maya Karin
Strategi Maya Karin untuk kekal popular, diminati ramai

FILEM Ombak Rindu melonjakkan nama Maya Karin meskipun wajahnya dianggap jarang menghiasi filem tempatan. Bukan filem saja, dia juga memang sukar dilihat membintangi drama atau telefilem baru yang disiarkan oleh mana-mana stesen TV.
Kalaupun ada yang pernah melihatnya, itu adalah drama atau filem yang disiar ulangannya. Bukan terbitan terbaru. Ini menjadikan Maya dianggap meletakkan dirinya sebagai sangat eksklusif.


Itu memang diakui dan ia juga adalah strategi Maya untuk dirinya dilihat sebagai artis eksklusif.

Formula yang digunakan itu membuahkan hasil sehingga merangkul kembali gelaran Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang pernah digenggamnya tiga tahun lalu.

Mengakui dirinya sememangnya eksklusif, dia menganggap itu adalah formula yang digunanya sejak 10 tahun lalu dan hanya memilih watak bersesuaian serta memenuhi cita rasanya saja.

“Saya memang macam ini, sudah eksklusif dan disebabkan formula itu, saya menjadi. Saya sangat seronok dengan peluang besar yang diberikan dalam industri kita walaupun industri ini kecil saja.
“Bagi saya, kalau menang jangan terlalu gembira dan kalau kalah jangan terlalu bersedih kerana kita akan menghadapi keadaan jatuh bangun dalam industri ini,” katanya yang pernah diangkat sebagai Pelakon Filem Wanita Popular pada 2005 dan 2008.

Bukan dirinya yang diletakkan sebagai eksklusif sebaliknya Maya meletakkan bakat yang dimilikinya ke tahap itu supaya orang melihatnya berdasarkan bakat.

Tindakannya itu bukan saja memperlihatkan mutu lakonannya lebih baik, bahkan memberi peluang untuk menguasai pelbagai watak dengan penceritaan berbeza.

“Saya tidak perlu risau soal menang atau kalah kerana setiap tahun ada turun naik. Saya tahu peminat akan mengundi kerana itu membuktikan peminat nampak bakat yang saya miliki. Mereka memilih bukan kerana baju atau muka cantik tetapi bakat yang pelbagai. Saya memang cerewet dalam memilih watak dan jalan cerita kena kuat baru saya terima,” katanya.

Jika dulu Maya amat dikenali dalam karya arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba, sejak kebelakangan ini dia lebih memberi laluan kepada pengarah, Osman Ali kerana merasakan karyanya lebih sesuai dengan dirinya.

Menganggap Osman sebagai pengarah hebat selepas kemunculan pertamanya dalam filem Anak Halal, dia akan meneliti setiap tawaran yang datang daripada pengarah filem Ombak Rindu itu.

“Bukan semua tawarannya saya terima, ada juga saya tolak sebab komitmen dengan filem lain. Saya tidak mahu menerima tawaran yang jalan ceritanya hampir sama atau mencuri idea daripada filem lain kerana saya mahukan skrip yang asli.

“Dalam pemilihan watak, saya lebih mengikut naluri bukan memilih pengarah.
Macam watak saya dalam filem Duyung, orang tidak menyangka saya terima tawaran ini tetapi menerimanya itu kerana naluri saya ia sebuah kisah menarik, walaupun jalan ceritanya kelakar,” katanya yang baru selesai penggambaran filem Lagenda Budak Setan 3.

Mengimpikan watak lasak seperti puteri pahlawan, Maya mahu mempelbagai wataknya seperti di dalam filemnya sebelum ini, Cun, Pisau Cukur dan Duyung.

Jika diberi peluang beraksi semula di dalam filem yang pernah dibintanginya, Maya memilih untuk kembali mencorakkan watak Bella dalam filem Pisau Cukur kerana merasakan lakonannya belum cukup memuaskan.

“Saya jarang dapat watak kuat, jadi kalau boleh nak watak seperti pahlawan wanita dan mahukan perubahan dalam watak yang lasak. Secara peribadi, saya nak buat lebih baik lagi dalam filem itu,” katanya.