Ekonomi

Astro tawar IPO 597.69 juta saham




Permohonan bagi langganan saham itu akan ditutup pada Rabu depan

Astro Malaysia Holdings Bhd, pengendali perkhidmatan televisyen berbayar milik tokoh perniagaan Ananda Krishnan memperuntukkan 597.69 juta saham tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian semulanya di Pasaran Utama Bursa Malaysia kepada pelabur Bumiputera.

Saham berkenaan ditawarkannya di bawah peruntukan khas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Permohonan bagi langganan saham itu akan ditutup pada 15 Ogos ini, demikian mengikut tawaran yang disiarkan di laman web MITI semalam.

Bagaimanapun, harga tawaran bagi saham berkenaan tidak dinyatakan. Astro Malaysia dalam deraf prospektus IPO yang dikemukakannya kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) kelmarin juga tidak menyatakan jumlah keseluruhan saham yang ditawarkannya dalam IPO itu dan jumlah dana yang bakal diraihnya.

Syarikat itu hanya menyatakan bahawa 58 peratus dana yang dijana itu akan digunakannya untuk perbelanjaan modal, 29.3 peratus untuk membayar semula pinjaman bank, 8.6 peratus untuk modal kerja, manakala bakinya untuk perbelanjaan penyenaraian.

Sumber industri memberitahu BH, harga tawaran bagi saham untuk langganan pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI itu akan diketahui pada hujung bulan ini.

Bank penasihat bagi IPO Astro Malaysia itu ialah CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.

Mengikut tawaran peruntukan saham khas Bumiputera Astro itu, pelabur Bumiputera yang berminat melanggan saham syarikat itu boleh mengemukakan permohonan mereka secara dalam talian atau menghubungi Pusat Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan CIMB Investment Bank Bhd di talian 03-20846440 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Dilaporkan sebelum ini bahawa pengapungan saham pengendali televisyen berbayar itu dijangka menjana modal sehingga AS$1.5 bilion (RM4.6 bilion).

Ia juga bakal menjadi IPO ketiga terbesar tahun ini selepas Felda Global Ventures Holdings Bhd pada Jun dan IHH Healthcare Bhd bulan lalu.

Astro Malaysia mencatatkan keuntungan bersih RM629.62 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2012, jatuh 23.9 peratus daripada setahun sebelumnya.

Pengendali perkhidmatan televisyen berbayar itu sebelum ini disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada Oktober 2003.

Ia bagaimanapun dikeluarkan daripada senaraian pada 14 Jun 2010, susulan tawaran pengambilalihan oleh Astro Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat dimiliki Usaha Tegas Sdn Bhd yang kepentingannya dimiliki oleh Ananda dan Khazanah Nasional Bhd.