Awas! Jangkitan virus Luka ketika mencukur bulu roma boleh mengundang jangkitan virus. - Gambar hiasan
Teknik cukur bulu bahagian sulit boleh undang penyebaran ketuat

Sekiranya anda gemar membuang bulu ari pada bahagian sulit menerusi teknik cukur, cabut atau melilin, anda perlu lebih berhati-hati kerana kajian terkini mendapati teknik itu meningkatkan risiko penyebaran sejenis ketuat dikenali sebagai ‘molluscum contagiosum virus’ (MCV).
Kajian diketuai pakar kulit dari Hospital Archet di Nice, Perancis, Dr Francois Desruelles, mendapati kira-kira 93 peratus daripada pesakit MCV, yang menemuinya, mengaku kerap membuang roma menerusi teknik cukur, melilin atau mencabut rerambut pada bahagian sulit mereka.


Wanita paling ramai

Kajian dilakukan antara Januari 2011 hingga Mac 2012 itu melihat kaitan antara pembuangan roma pada bahagian kemaluan dan kaitannya terhadap jangkitan MCV.

Katanya, daripada 30 kes jangkitan, enam adalah wanita. Tahap jangkitan bukan saja setakat bahagian kemaluan, sebaliknya merebak hingga ke paha dan abdomen.

“MCV, sama seperti virus cacar, menyebar dengan cara hubungan antara kulit dengan perantaraan barang yang dipakai termasuk pakaian, atau menerusi hubungan seksual. Virus ini menyebabkan bintik kecil berair.
“Ia bagaimanapun tidak menyakitkan dan sering kali hilang tanpa melalui proses pengubatan serius,” katanya.

Risiko jangkitan

Teknik buang roma menerusi lilin dan cukur lebih digemari berbanding laser kerana ia dipercayai lebih murah, justeru lebih digemari walaupun pengguna menyedari ia meningkatkan risiko jangkitan lain akibat luka dan bahagian terdedah.

Teknik membuang roma pada bahagian itu tiada kena mengena dengan kesihatan, sebaliknya hanya memenuhi tuntutan bergaya atau ‘kelihatan’ lebih kemas apabila mengenakan baju mandi. Teknik berkenaan popular kalangan wanita muda remaja.

Bagi yang berkemampuan, rawatan laser untuk menghilangkan bulu roma adalah pilihan utama. Namun, menggunakan pencukur atau krim kerap menjadi pilihan kerana lebih mudah, biarpun ia hanya bertahan dalam tempoh kurang sebulan, sebelum roma tumbuh kembali.

Mudah merebak

Ketua Jabatan Dermatologi, University of Mississippi Medical Center, Dr Robert T Brodell menjelaskan, penyebaran mudah berlaku menerusi teknik mencukur, apabila peralatan digunakan mungkin dikongsi dengan pelanggan lain.

“Kesan luka tidak kelihatan memudahkan jangkitan. Malah, boleh menjangkiti pasangan sekiranya melakukan hubungan kelamin,” katanya.

Sementara itu Perunding Obstetik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, (PPUKM) Prof Madya Dr Nur Azurah Abdul Ghani, berkata disebabkan MCV mudah merebak, orang ramai dan pengusaha pusat penjagaan kecantikan yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu, dinasihati menjaga kebersihan peralatan ketika digunakan dalam membuang roma.

“Kita mungkin tidak perasan mengenai luka yang terjadi pada bahagian dicukur. Jangkitan lebih mudah merebak apabila individu melakukan hubungan seksual,” katanya.

Bagaimanapun katanya gangguan berkenaan tidak menyebabkan penyakit serius dan tidak berhubungan dengan kutil kelamin, yang disebabkan oleh human papillomavirus (HPV). Namun, orang dewasa dijangkiti MCV pada alat kelamin harus disaring kerana ia kemungkinan ada penyakit lain berkaitan.

Untuk orang dengan sistem kekebalan tubuh yang normal, MCV boleh sembuh tanpa pengubatan dalam tempoh enam hingga setahun, meskipun kadang-kadang melarat hingga bertahun-tahun.

Pesan Dr Nur Azurah, walaupun MCV tidak merbahaya dan hanya memerlukan pengubatan sederhana, tetapi ia meninggalkan rasa tidak selesa dan tidak cantik.

MCV boleh dirawat menerusi teknik buang atau ‘scraping’; pembekuan atau laser.

INFO: Molluscum contagiosum
* Molluscum contagiosum (MCV) adalah kesan jangkitan virus relatif umum pada kulit yang sering menjangkiti kanak-kanak. Jangkitan dapat dilihat menerusi benjolan berair. Ia sebenarnya boleh hilang dengan sendirinya.
* Bagaimanapun, yang menjadi masalah apabila MCV pecah disebabkan tergores atau terluka kerana ia boleh menjangkiti bahagian lain sekitarnya.
* Sungguhpun MCV kerap dialami kanak-kanak, orang dewasa tidak terkecuali.
* Kalangan orang dewasa MCV cenderung tumbuh pada bahagian sulit. Ia juga dianggap punca jangkitan berkaitan aktiviti seksual, kerana orang dewasa lebih terdedah melakukan hubungan kelamin.

Punca:
Jangkitan berlaku disebabkan virus molluscum contagiosum, iaitu anggota dari keluarga poxvirus. Virus ini menyebar dengan mudah melalui:
1. Hubungan langsung antara kulit ke kulit.
2. Hubungan langsung dengan sesuatu yang sudah dijangkiti virus seperti alat mainan dan pemegang pintu.
3. Hubungan seksual dengan pasangan yang sudah pun dijangkiti.

Ciri-ciri:
1. Kecil dengan diameter antara 2 hingga 5 milimeter (mm).
2. Ada lekuk lekuk kecil atau titik di atasnya
3. Kadangkala kelihatan kemerah-merahan akibat radang.
4. Pada anak-anak, ia biasa muncul pada bahagian leher, ketiak, tangan dan lengan.
5. Pada orang dewasa, ia muncul pada bahagian kelamin dan kawasan sekitarnya.