login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Jumaat , 01 Ogos 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
DrdiBM
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Awasi paras gula

bminggu@bharian.com.my
2010/05/23

SOALAN:
Saya baru saja disahkan mengidap penyakit kencing manis enam bulan yang lepas. Baru-baru ini saya pergi ke klinik untuk rawatan susulan seperti dijadualkan. Walaupun keputusan gula dalam darah saya (selepas berpuasa) berada dalam julat normal iaitu 6 mmol/L, tetapi doktor menyatakan bahawa kawalan gula saya masih tidak memuaskan berdasarkan keputusan HbA1c, iaitu 9 peratus. Bolehkah doktor terangkan lebih lanjut mengapa ini terjadi?
Yang keliru, Shah Alam. JAWAPAN:

Penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus) adalah satu keadaan iaitu ada kadar glukosa yang berlebihan dalam darah. Ia disebabkan oleh masalah ketiadaan atau kekurangan penghasilan insulin, atau badan bersifat rintang terhadap insulin. Insulin adalah hormon yang berfungsi untuk mengawal kandungan gula dalam darah dengan meningkatkan penyimpanan karbohidrat, lemak dan protein di dalam badan.

Antara tanda atau gejala yang dialami oleh pesakit adalah kerap membuang air kencing, sentiasa dahaga, letih dan hilang berat badan.

Menurut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS III) yang dilakukan pada tahun 2006, lebih kurang 15 peratus daripada rakyat Malaysia yang berumur lebih daripada 30 tahun mengidap penyakit ini dan peratusan ini semakin meningkat tahun demi tahun.
Penyakit kencing manis adalah satu penyakit seumur hidup. Rawatan adalah bertujuan untuk melegakan gejala dan mengembalikan paras gula darah kepada paras normal serta mencegah komplikasi.

Bagi pesakit kencing manis, pemantauan berkala paras gula darah adalah penting. Ini kerana ia akan menunjukkan sama ada kawalan dan rawatan adalah mencukupi ataupun perlu diperbetulkan. Paras gula selepas berpuasa bagi orang normal adalah antara 4 mmol/L hingga 6.1 mmol/L.

Selain ujian paras gula selepas berpuasa, satu ujian lain yang biasa dilakukan dalam pemantauan pesakit kencing manis ialah pengukuran Hemoglobin A1c (HbA1c). Paras HbA1c tidak dipengaruhi oleh perubahan seharian paras gula tetapi menggambarkan kawalan gula darah dalam masa enam hingga lapan minggu yang lepas. Oleh yang demikian HbA1c adalah ujian yang berguna untuk menggambarkan kawalan paras gula dalam tempoh dua hingga tiga bulan yang lepas.

Bagi individu normal, paras HbA1c adalah kurang daripada enam peratus. Bagi pesakit kencing manis, paras kurang daripada tujuh peratus menggambarkan kawalan gula yang bagus. Namun sebaliknya, jika paras HbA1c melebihi tujuh peratus ia menunjukkan kawalan gula yang tidak memuaskan dan menghadapi risiko yang tinggi untuk mendapat komplikasi jangkamasa panjang membabitkan jantung, buah pinggang, saraf dan mata.

Merujuk soalan saudara, walaupun paras gula darah selepas puasa adalah normal, namun ia hanya menggambarkan paras gula pada masa ujian dilakukan sebaliknya keputusan HbA1c yang melebihi tujuh peratus menggambarkan kawalan gula dalam darah saudara dalam tempoh dua hingga tiga bulan yang lepas adalah tidak memuaskan. Oleh yang demikian saudara harus memastikan segala nasihat dan arahan doktor untuk mengawal paras gula darah dipatuhi sepanjang masa, tidak hanya sewaktu ujian darah dilakukan. Jika ada sebarang kemusykilan, diharap dapat merujuk kepada doktor yang merawat saudara.

Disediakan oleh:
Dr Muhammad Arif M Hashim
Ketua Jabatan Patologi dan Pakar Perunding Kanan Patologi
Hospital Kuala Lumpur

Info
Jika ada sebarang kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada “Doktor di Berita Minggu” melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Bangsar, Kuala Lumpur.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas