gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Aizat

Foto

Amdan menjadi tonggak perjalanan seni Aizat.

Penyanyi Lelaki Popular akui bapanya pengkritik nombor satu hingga membawanya mencapai kejayaan dalam industri muzik

UNGKAPAN kasih dan sayang barangkali tidak lagi kerap dituturkan seperti dulu namun tulus ikatan antara dua insan itu masih mengalirkan getar yang sama, tidak berubah sejak hari pertama Muhammad Aizat Amdan dilahirkan.
Kedewasaan Aizat, 21, tidak sedikit pun menjarakkan keakraban dengan bapanya, Datuk Amdan Mat Din, 54 kerana lelaki itu sentiasa menjadi tunggak yang mendukung utuh perjalanan karier seninya.


Akui Aizat yang juga Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 2009, sebahagian sifat kedewasaan yang bertapak dalam dirinya hari ini diwarisi daripada bapanya kerana lelaki itu ialah idola yang sentiasa menjadi sanjungan jiwanya.

“Tidak sulit memahami ayah kerana aliran pemikiran dan wawasan hidup kami sama. Semakin Aizat meningkat dewasa, semakin banyak yang kami kongsi bersama kerana ayah ialah pengkritik nombor satu kerjaya seni Aizat,” kata Aizat.

Amdan di mata penyanyi Hanya Kau Yang Mampu ini ialah seorang lelaki yang praktikal, sarat idea namun lebih senang jika segala perancangan yang bermain di benak fikiran segera direalisasikan. Akui Aizat lagi, bapanya sentiasa memberikan cabaran untuk melakukan sesuatu yang melangkaui apa yang pernah dicapainya sebelum ini.

“Ayah selalu berpesan, jangan cuma bercakap tetapi laksanakan apa yang dicita-citakan. Dia sering mencabar, mendesak saya dan adik beradik lain untuk berusaha keras serta membuktikan kemampuan sebenar. Mungkin kerana dorongan serta motivasi yang sering ditiupkan ayah membuatkan kami adik beradik tidak pernah cepat berpuas hati atau lena dengan pujian.
“Ayah bertindak seperti sepasang mata yang mengawasi pergerakan kami. Dalam kebebasan, ayah akan memantau supaya kami tidak tersasar dan itu yang membuatkan Aizat mengagumi keperibadiannya,” kata Aizat.

Selain Aizat, darah keperwiraan Amdan turut mengalir dalam diri Muhammad Amir, 30; Muhammad Amar, 28; Nurilizuhair, 26; Muhammad Anas, 23 dan Muhammad Aliff, 19.

Kata penyanyi yang sedang hangat dengan lagu Susun Silang Kata itu lagi, dia bersyukur kerana bapanya sentiasa berdiri di belakang untuk menyokong kariernya.

Biarpun pilihan Aizat itu jauh tersasar daripada karier korporat yang diceburi bapanya tetapi lelaki itu tidak pernah membantah kemahuan anak-anaknya.

Kata Aizat, darah seni yang mengalir dalam dirinya diwarisi daripada bapanya yang suatu ketika dulu juga aktif sebagai pemuzik.

“Ayah seorang yang terbuka dan menerima apa saja pilihan anak-anaknya. Dia mahu saya serius menjadi anak seni berwawasan, mengenepikan dulu soal glamour dan popular serta lebih mengutamakan kualiti. Tanpa kritikan serta cabaran ayah, tidak mungkin Aizat mampu berdiri di mana saya berada hari ini. Semua itu menuntut kekuatan dan kesungguhan luar biasa. Syukur kerana Aizat memperoleh semua itu daripada kekuatan semangat ayah,” kata Aizat memuji bapanya.

Anak kelima daripada enam beradik itu juga mengakui, bapanya sentiasa menanam kepercayaan terhadap anak-anaknya.

Malah bapanya sentiasa positif setiap anak-anaknya memiliki keistimewaan serta kelebihan yang tersendiri untuk dikongsi bersama masyarakat.

Disebabkan itu kata Aizat, meskipun langkah awalnya dalam bidang nyanyian bermula dengan kekecewaan apabila gagal mara ke final Akademi Fantasia 5, bapanya tidak berputus asa. Lelaki itu juga tidak bersedih, sebaliknya sentiasa menanam ingatan kepada Aizat supaya terus berusaha kerana perjalanan hidupnya baru bermula.

“Aizat mengambil kata-kata positif ayah dan menanam semangat dalam diri yang Aizat juga mampu meraih kejayaan. Alhamdulillah beberapa tahun kebelakangan ini, rezeki semakin berpihak kepada Aizat. Biarpun jarang memuji, Aizat yakin ayah berbangga dengan apa yang Aizat capai.

“Cuma, mungkin dia enggan terlalu memuji kerana tidak mahu Aizat pantas berpuas hati. Ayah tidak mahu Aizat terlalu leka dan akhirnya lupa wawasan asal sebagai anak seni,” katanya.

Aizat juga bersyukur kerana keluarga menerima realiti kehidupannya sebagai anak seni yang tidak terlepas daripada pujian dan kritikan.

Biarpun tidak semua menyenangi pencapaiannya, malah sesekali diekori gosip panas yang mencabar kesabaran namun bapanya tidak melatah.

“Andai ada kritikan yang menghina dan mengguris perasaan, mereka senang mengambil pendekatan untuk memaafkan orang itu.

Mungkin kerana keikhlasan dan restu ayah, kerjaya seni Aizat berjalan baik malah mendewasakan Aizat supaya bersikap matang setiap kali berurusan dengan orang luar,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Hari Bapa yang disambut setiap Ahad ketiga dalam Jun, Aizat berkata, seandainya tidak terikat dengan komitmen seni mereka adik beradik akan cuba menghabiskan masa bersama ayah. Sering pilihan mereka ialah membawa ayah keluar untuk menikmati makan malam bersama, disusuli aktiviti lain yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Bagaimanapun, kata Aizat, dia tidak mahu penghargaan itu cuma diberikan pada hari tertentu kerana kasih sayang yang tulus dan ikhlas hadir tanpa sempadan dan waktu.