Ayai
BENTUK fizikal figura ini sudah banyak berubah. Rambut yang dulu mencecah bahu kini dipotong pendek. Tubuh yang kurus kini makin berisi. Namun, hanya ada satu saja yang masih kekal seperti dulu iaitu vokalnya yang tersendiri.
Memang benar, suara pemilik nama penuh Zahruddin Kamaruddin atau lebih dikenali dengan nama komersial Ayai ini masih lunak seperti dulu.
Namun, siapa sangka penyanyi yang berasal dari Johor Bharu ini pernah kehilangan suara selama enam tahun gara-gara peti suaranya rosak. Sebaik mendapat perkhabaran sedih itu, Ayai mengaku dia sangat kecewa. Mengapa tidak, bagi dirinya vokal adalah periuk nasinya.
“Saya tidak boleh menyanyi selama enam tahun bermula 1996. Saya mengalami masalah peti suara koyak. Doktor beritahu perkara itu berlaku kesan berhenti merokok serta impak terlalu kerap mengambil panadol.
“Saya ini seorang yang kuat bekerja, jadi jika badan saya sakit-sakit, saya akan telan panadol. Tak sangka pula ia boleh menjejaskan kesihatan. Namun, selepas berulang alik ke hospital mendapat rawatan, akhirnya penyakit saya dapat dipulihkan. Sekarang, saya boleh menyanyi seperti biasa,” imbaunya.
Masih aktif di Johor Bahru
Meskipun mengakui sedih dan kecewa apabila ditimpa penyakit itu, namun siapa sangka musibah itu membawa rahmat buat bekas finalis Bintang RTM 1986 ini.
“Bila diingat kembali peristiwa itu, saya memang kecewa dan sedih kerana hilang punca pendapatan. Namun benarlah kata orang, setiap kedukaan itu ada hikmah di sebaliknya. Disebabkan itu, saya mula berjinak-jinak dalam bidang pembinaan dan mengambil lesen kelas F.
“Sehingga sekarang saya dapat menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan selain menubuhkan syarikat pengurusan acara untuk menyara keluarga,” kata lelaki berusia setengah abad ini.
Walaupun publisiti terhadap Ayai tidak sehebat dulu, namun tidak dia melupakan terus bidang nyanyian. Kata penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Segalanya ku Terima, Suara Cinta dan Inang Bujang dan Dara ini, dia masih mendapat undangan nyanyian.
“Saya masih lagi menyanyi bersama kumpulan Ilusi tetapi di sekitar Johor Bharu saja. Mungkin sebab tiada publisiti membuatkan ramai yang menyangka saya sudah tidak aktif lagi.
“Saya baru mengeluarkan single terbaru berjudul Berbalas Balas hasil ciptaan Fauzi Marzuki. Lagu ini sudah mula diputarkan di corong radio,” katanya gembira.
Darah seni mengalir ke anak
Bercerita mengenai tiga permata hatinya, Ayai berkata, dia tidak menggalakkan anak-anak menjadi artis. Namun, dia merestui apa juga karier yang ingin diceburi mereka selepas memperoleh ijazah.
Bukanlah Ayai memandang rendah kerjaya seni, cuma jika boleh, biarlah mereka mencari ilmu ke peringkat tertinggi.
“Bagaimanapun, saya lihat darah seni mengalir dalam diri anak saya terutama kecenderungan mereka bermain alat muzik. Sebagai bapa, saya hanya mengharapkan anak-anak saya berjaya dalam pelajaran,” katanya penuh harapan kepada buah hatinya iaitu Aimie Nadia, 21, Aimie Nurin Asyiqin, 16, dan Azmeer Arshad, 12.
Sempena Festival Muzik Antarabangsa Johor 2012, Ayai akan terbabit dalam persembahan Muzikal Hidayah yang akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober ini di Dewan Jubli Intan Johor Bharu. Turut menjayakan persembahan itu adalah Ustaz Nazrey Johani, Ramli Sarip dan Habibah (Al-Jawaher).
Diskografi
Album
Ayai (Illusi)
Ayai '95 (1995)
Illusi - Menggapai Pelangi '93 - (1993)
Illusi - Dalam Illusi '88 - (1988)
Keunggulan 1999
Lagu-lagu:
Puisi Cinta
Segalanya Kuterima
Menggapai Pelangi
Inang Bujang Dan Dara
INFO
Festival Muzik Antarabangsa Johor 2012
Tarikh: 8 September hingga 20 Oktober
Aktiviti : Bengkel Keroncong (8 hingga 9 September)
Kolaborasi Tari Ombak (23-24 September)
Pertandingan Kompang Kebangsaan (22-23 September)
Pertandingan Keroncong (28-30 September)
Konsert Legenda Retro (28 September)
Konsert Simfono Ghazal Johor (14 Oktober)
Persembahan Poket (18-19 Oktober
Malam Gala (20 Oktober)