Azraai melenting aksi pemain Azraai puas hati aksi pertama Rafael Souza (kanan).
Ipoh: Buat pertama kali jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah ‘naik angin’ gara-gara aksi lembap anak didiknya ketika seri 2-2 PKNS di Stadium Lumut, malam kelmarin sambil memberi amaran dia tidak akan teragak-agak ‘membuat perubahan drastik’ jika perlu.

Tiada seorang pun daripada kesebelasan Seladang termasuk awang import, Rafael Souza terlepas daripada kemarahan Azraai yang melenting selepas menyaksikan aksi longgar pemain tuan rumah yang nyaris diaibkan pelawat.
“Dalam pasukan Perak terdapat beberapa pemain Piala Presiden yang bersedia untuk mengambil alih tempat pemain senior. Saya sering menyelitkan mereka dalam kesebelasan pasukan untuk memberi pendedahan dan saya akan teruskan eksperimen ini,” katanya.


Rangel mula hebat

Pada perlawanan malam kelmarin, Abd Hadi Yahaya dan awang import baru, Paulo Rangel menjaringkan gol Perak manakala Patrick Ronaldinho penyumbang kedua-dua gol PKNS.

“Kami harus menang tetapi sikap terlalu yakin dan hilang tumpuan kerana mendahului 2-1 menyaksikan lawan menyamakan kedudukan. Saya beritahu pemain bersikap profesional kerana memikul amanah PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) selaku majikan mereka,” katanya.

Begitupun, di sebalik kehampaan berikutan persembahan hambar anak didiknya, Azraai melihat ciri-ciri positif dari dua pemain iaitu Mohd Shamil Khairi dan Rangel.
“Saya gembira Shamil berjaya melaksanakan tugasnya dengan berkesan ketika menggantikan Mohd Shahrom (Kalam). Rangel pula memberi sumbangan berkesan dalam penampilan pertama termasuk dua jaringan dibatalkan kerana ofsaid. Jika tidak dia akan rakamkan hatrik,” kata Azraai.