Perubahan positif di Manek Urai dilihat mampu beri kejayaan besar menjelang PRU-13
Soalan: DI manakah kedudukan BN ketika melangkah masuk gelanggang PRK Galas ini?
Oleh kerana Kelantan adalah negeri yang menjadi kubu terkuat PAS di Malaysia, maka kita memasuki PRK ini sebagai underdog. Kita perlu meningkatkan keyakinan dan kemampuan bagi menghadapi kerajaan negeri yang sudah lama bertapak iaitu 20 tahun. Mereka sering memainkan isu agama untuk memancing undi selain mendapat bantuan hebat semua parti dalam Pakatan Pembangkang.
Walaupun memasuki PRK ini sebagai underdog, bagaimanapun kita komited untuk beri saingan hebat kepada PAS. Kalau kita tidak mudah mengaku kalah dan bekerja kuat sepanjang kempen, kita melihat ada peluang untuk mengejutkan PAS di sini, kerana suatu masa dulu, kawasan ini adalah kubu kita.
Bagaimana kerjasama antara jentera dan perjalanan kempen setakat ini?
Di sini pendekatannya berbeza. Pertamanya, kita tidak ada ‘command centre' yang menyelaraskan semua aktiviti, keduanya kita tumpukan lebih kepada peti undi, semua gerak kerja, tertumpu di peringkat akar umbinya. Inilah perbezaannya. Jadi walaupun kita ada negeri dan bahagian yang datang membantu tetapi mereka terus ke peti undi dan dari segi penyelarasan, diuruskan oleh ketua peti undi dan pengarah pilihan raya, bukan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perbezaan pendekatan yang dibuat di sini dilihat sesuai untuk Galas kerana tiada isu besar di sini, cuma kadang-kadang isu kecil yang direka-reka. Kita terima laporan mereka menuduh kononnya UMNO menyogok pengundi PAS, hakikatnya mereka tidak ada isu besar terhadap BN.
Bagaimana sikap pengundi selepas BN mengharungi kempen yang kini sudah memasuki fasa kedua?
Kita nampak pada mulanya agak cemas tetapi selepas gerak kerja bermula, respon itu mula ada, cuma kita belum yakin. Namun keadaan kini nampak kian seimbang, cuma masyarakat di kampung sesetengahnya tidak suka berdepan atau menghebohkan pendirian politik mereka.
Ada empat kelompok pengundi; Melayu, Cina, Orang Asli dan India. Bagi India, kita rasa mungkin dapat sebahagian besar undi mereka tetapi jumlah mereka kecil saja. Bagi Orang Asli, matlamat kita adalah untuk tambah undi kita, kalau dulu kita memenangi semua peti undi Orang Asli, kali ini kita bukan setakat mahu menang tetapi nak tambah undi Orang Asli.
Bagi orang Cina, dulunya di sini kubu kuat kita, malah undi mereka bersama kita tetapi pada 2008 mereka lari, maka kita hadapi cabaran besar dan perlu tingkatkan usaha menarik sokongan pengundi Cina. Matlamat kita nak tambah peratusan undi Cina bersama BN.
Bagi pengundi Melayu, kita tahu bahawa satu masa lalu, ini kubu kuat UMNO dan pada 2008 ada yang lari dan tidak mengundi BN. Matlamat kita adalah untuk bawa mereka kembali kepada kita. Hakikatnya, kita nak tambah undi atau peratusan bagi setiap kelompok yang mengundi kita.
Satu cabaran yang kita hadapi ialah sikap anak muda dan pengundi luar yang sukar kita baca. Kita ada Kelab Anak Gua Musang (KAGUM) yang bertanggungjawab berkempen dalam kalangan pengundi luar dan mereka sedang berbuat demikian.
Kira-kira 700 petugas parti di sini yang kebanyakannya pengundi muda diberi peluang bercuti sehari sambil menonton bola sepak di Kuala Lumpur baru-baru ini, kelihatan begitu bersemangat dan kita amat berharap penyokong muda bertambah kepada BN. Pengundi luar dan muda juga memainkan peranan penting dalam menentukan siapa menang di Galas.
Menyentuh pengundi muda dan luar yang sebelum ini dilihat lebih menyokong PAS hingga menghalang kemenangan BN, bagaimana sikap mereka kini?
Kalau dari segi zahirnya, saya lihat di Manek Urai, antara sebab kita berjaya mengurangkan majoriti PAS ialah sikap pengundi luar dan muda yang berubah. Kita merasakan dengan pembaharuan yang dibuat kerajaan hari ini, mereka lebih meyakini dasar kita, mereka lebih yakini keterbukaannya, kita harap dapat terus mengubah persepsi pengundi luar kepada kerajaan BN. Inilah harapan kita.
Apa harapan Datuk Seri kepada seluruh pengundi pada hari pengundian 4 November ini?
Saya merayu agar mereka memberi peluang kepada BN untuk menunjukkan sudah ada kebangkitan. Pengundi yang dahulunya menjauhi kita, kini sudah mula kembali walaupun mereka tidak ramai. Kita mahu buktikan bahawa penerimaan terhadap dasar Kerajaan Pusat perlu dipertingkat. Mereka juga tunjukkan rasa tidak senang terhadap pentadbiran PAS hari ini, khususnya dengan beberapa perkara berkaitan pembalakan, ketidakpuasan Orang Asli, bekalan air, masalah setinggan dan isu tanah.
Selepas 20 tahun rakyat memberi peluang kepada PAS menguruskan pelbagai perkara termasuk tanah dan Orang Asli. Harapan saya sudah sampai masanya memberi isyarat yang mereka tidak senang kepada pentadbiran PAS. Di Manek Urai, mereka memberi isyarat yang mereka kini mahu perubahan kepada kerajaan PAS Kelantan dan saya harap di Galas ini, pengundi boleh memberi isyarat sama, sesuatu yang mampu dibuat.
Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, kita ingin melihat satu gelombang perubahan yang bermula di Galas ini. Selepas Manek Urai yang menjadi permulaan dengan momentum meningkat kini, insya-Allah, kita mampu mengubah keadaan di Kelantan menjelang PRU-13.
Apa yang perlu pengundi faham mengenai tanggungjawab mereka memilih wakil ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas ini?
Semua pengundi harus memahami keadaan terkini, sebarang keputusan yang PAS peroleh daripada pilihan raya kecil ini tidak merubah keadaan mereka akan terus memerintah, kita cukup faham situasi itu. Kalah atau menang PAS di Galas, ia tidak akan membawakan makna kepada mereka tetapi isyaratnya amat jelas, bermula di Manek Urai, sudah ada perubahan di Kelantan dan penerimaan kepada dasar Perdana Menteri yang mahu membawa perubahan ke seluruh negara.