BN yakin menang 2/3 Najib bersalaman dengan orang ramai ketika tiba pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah SJKC No 2 di Kuching, semalam. - Foto Ghazali Bujang
Waspada strategi pembangkang: Najib

Kuching: Ketika tempoh berkempen berbaki tujuh hari, Datuk Seri Najib Razak yakin Barisan Nasional (BN) mampu memenangi dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bersandarkan kedudukan parti yang kian mantap.
Perdana Menteri berkata, kini semua peringkat dalam parti memberi fokus dan komitmen yang tinggi bagi memastikan kerja-kerja pilihan raya lancar.
“Kita mesti anggap ini sebagai ancaman besar dan mesti bekerja keras mengetepikan masalah dalaman. Saya percaya jika masalah dalaman diketepikan insya-Allah kita boleh capai kemenangan dua pertiga” Najib Razak, Perdana Menteri

Tiada lagi masalah dalaman

Beliau berpuas hati kerana masalah dalaman yang pada awalnya berlaku di sesetengah tempat terutama dari segi kelicinan jentera dan penentuan calon, berjaya diselesaikan.

“BN masih di landasan untuk mencapai kemenangan dua pertiga, tetapi saya tak mahu jentera kita lalai dalam hal ini, sebab kita mesti sedar pembangkang juga mengatur strategi untuk mencari jalan bagi menghalang kita mencapai kemenangan itu.

'Kerja keras ketepi masalah dalaman'
“Kita mesti anggap ini sebagai ancaman besar dan mesti bekerja keras mengetepikan masalah dalaman. Saya percaya jika masalah dalaman diketepikan insya-Allah kita boleh capai kemenangan dua pertiga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) No 2 di sini, semalam.

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Openg; calon BN untuk Parlimen Stampin, Datuk Yong Khoon Seng dan calon BN untuk Bandar Kuching, Tan Kai.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, masalah dalaman pembangkang lebih berat kerana masih ada yang bertanding sesama sendiri di beberapa kerusi.

“Masalah kita sudah selesai, berbanding mereka tidak dapat menyelesaikan masalah pada waktu penamaan calon. Walaupun ada usaha tarik diri dan sebagainya, masalah pertembungan sesama sendiri dan rasa tidak puas hati dalam pembangkang lebih serius daripada BN,” katanya.

Pembangkang ditolak

Selain itu, Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak nampak adanya sebarang tanda pembangkang boleh menang di Sabah dan Sarawak, kerana kekuatan BN di kedua-dua negeri ini, terutama di luar bandar tetap kukuh.

Beliau percaya masyarakat luar bandar sedar dan faham masa depan mereka dengan BN yang ada rekod baik untuk membangunkan kawasan luar bandar, malah sedar tanpa BN apa yang diharapkan tidak akan menjadi kenyataan.

Bagi kawasan pengundi pelbagai kaum, Najib percaya BN mempunyai harapan baik untuk menang, termasuk di Parlimen Stampin, sedang di kawasan majoriti pengundi Cina, BN masih perlu bekerja keras untuk meningkatkan lagi sokongan.